30 terbunuh dalam serangan di pangkalan udara Yaman

 

DUBAI: Sekurang-kurangnya 30 tentera prokerajaan terbunuh dan puluhan lagi anggota dikesan cedera dalam serangan di pangkalan udara terbesar di Yaman, hari ini.

Sumber perubatan dan pihak tentera yang mengesahkan perkara itu berkata, mereka turut menyalahkan pemberontak Huthi yang disokong Iran atas serangan terbabit. Serangan itu berlaku di pangkalan udara Al-Anad, kira-kira 60 kilometer (km) ke utara bandar Aden di selatan negara bergolak itu.

Pangkalan udara itu digunakan sebagai markas bagi tentera Amerika Syarikat (AS) yang mengawasi perang dron terhadap Al-Qaeda sehingga mereka mengundurkan diri pada Mac 2015, tidak lama sebelum Huthi menguasai wilayah terbabit.

Jurucakap pasukan tentera, Mohammed al-Naqib, berkata lebih 30 maut manakala sekurang-kurangnya 56 lagi cedera.

"Serangan berlaku di wilayah Lahij yang ditadbir kerajaan," katanya kepada AFP.

Rakaman video daripada lokasi kejadian menunjukkan puluhan orang berkumpul di depan hospital Lahij di mana satu demi satu ambulans tiba membawa mayat.

Menurut jurucakap hospital, Mohsen Murshid, semua kakitangan diperlukan bagi membantu mengendalikan situasi itu.

"Kami mengarahkan semua kakitangan, pakar bedah dan jururawat untuk membantu.

"Kami juga maklum bahawa masih ada lagi mayat terperangkap di lokasi kejadian," katanya.

Sebuah ambulans mengangkut mangsa serangan di pangkalan udara Al-Anad ke hospital Ibn Khaldun di Lahij. - Foto AFP

Sementara itu, Naqib melalui kenyataan awalnya menuduh pemberontak Yaman, Huthi yang melancarkan serangan peluru berpandu dan dron di pangkalan udara terbabit.

Namun, sehingga kini tiada kenyataan balas dari pihak pemberontak. Kakitangan perubatan tentera mengesahkan jumlah kematian meningkat daripada tujuh yang dilaporkan pada awal hari ini. - AFP

https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/08/857449/30-terbunuh-dalam-serangan-di-pangkalan-udara-yaman

 

Comments