Kluster tempat kerja, komuniti kekal tinggi

 

PUTRAJAYA: Tempat kerja dan komuniti masing-masing mencatatkan sembilan kluster Covid-19 sekali gus menjadi penyumbang tertinggi daripada 23 kluster, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, selain tempat kerja dan komuniti, kumpulan berisiko tinggi merekodkan tiga kluster manakala pendidikan lain dan pendidikan swasta, masing-masing satu kluster.

Kluster tempat kerja, katanya, Selangor dan Perak, masing-masing tiga kluster, dua di Kelantan dan satu di Johor.

“Bagi kluster komuniti, enam di Kelantan manakala Pahang, Sabah dan Johor, masing-masing satu kluster.

“Kluster kumpulan berisiko tinggi pula, dua di Sarawak dan satu di Johor manakala satu kluster pendidikan lain di Kuala Lumpur serta satu kluster pendidikan swasta di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 15,759 kes berbanding semalam, 14,345 kes sekali gus diatasi 16,650 kes sembuh manakala 1,117 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 635 kes memerlukan bantuan pernafasan.


Katanya, Sarawak menjadi negeri terbanyak kes positif iaitu 3,732 kes diikuti Johor (1,959),Selangor (1,934), Pulau Pinang (1,417), Kelantan (1,338), Sabah (1,291) dan Perak (1,184).

“Enam negeri mencatatkan kes tiga angka iaitu Kedah (786), Pahang (707), Terengganu (592), Kuala Lumpur (359), Melaka (264) dan Negeri Sembilan (127).

“Putrajaya merekodkan 34 kes dan Perlis, 23 kes manakala Labuan, 12 kes,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan kematian pula, Malaysia semalam, mencatatkan kematian sebenar akibat Covid-19 (purata tujuh hari) iaitu 108 kes berbanding kelmarin yang dilaporkan, 110 kes sebelum ia berubah kepada 129 kes.

Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini yang berdasarkan maklumat dikemaskini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my,

Bagi jumlah kes kematian yang dilaporkan, berlaku penurunan sedikit, sebanyak 301 kes berbanding kelmarin, 376 kes sekali gus menjadikan keseluruhan kes terkini kematian sebanyak 23,744 kes.

Sebanyak 92 daripada 301 kematian melibatkan kes yang dibawa ke hospital (BID) dengan jumlah keseluruhan kes BID sebanyak 4,564 kes.


Jika dibahagikan mengikut negeri, Selangor mencatatkan kematian dilaporkan 130 kes manakala kematian sebenar harian (purata tujuh hari), 10 kes diikuti Johor (52/30), Kelantan (23/6), Pulau Pinang (22/17), Sabah (19/12), Perak (15/6), Kuala Lumpur (13/3), Sarawak (8/6), Kedah (6/9), Pahang (4/4), Terengganu (4/2), Melaka (3/2), Negeri Sembilan (1/1) dan Perlis (1/1).

Bagaimana, Labuan dan Putrajaya tidak mencatatkan sebarang kematian bagi dua kategori itu. – UTUSAN ONLINE

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/09/kluster-tempat-kerja-komuniti-kekal-tinggi/

Comments