40 cedera akibat perlanggaran kereta api di Iskandariah

 

KAHERAH: Sekurang-kurangnya 40 orang cedera apabila lokomotif merempuh kereta api di bandar pesisir utara Mesir, Iskandariah pada awal hari ini, kata kementerian kesihatan negara itu dalam satu kenyataan.

Kira-kira 27 ambulans membawa mangsa yang cedera ke tiga hospital awam di Iskandariah, kata jurucakap kementerian, Khaled Megahed.

Seorang pegawai keselamatan Mesir berkawal di lokasi kemalangan kereta api di Qalyubiya pada 18 April 2021. - Foto AFP

Mangsa yang cedera mengalami patah tulang, luka dan melecet, tambah Megahed.

Kejadian berlaku hanya beberapa jam selepas kereta api bertembung dengan dua bas mini di Helwan City, berhampiran ibu negara Kaherah semalam, yang mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang dan mencederakan enam yang lain.

Infrastruktur lama dan pengurusan yang buruk dipercayai punca kemalangan seperti itu berlaku di Mesir.

Sekurang-kurangnya 20 orang mati dan 199 yang lain cedera pada 26 Mac tahun ini dalam kemalangan kereta api di wilayah selatan negara itu, Sohag. - AGENSI

https://www.bharian.com.my/dunia/afrika/2021/06/830965/40-cedera-akibat-perlanggaran-kereta-api-di-iskandariah

Comments