5 juta penduduk Sydney dilarang merentas

 

SYDNEY: Bermula hari ini, semua penduduk Sydney dilarang meninggalkan bandar itu kerana pihak berkuasa Australia berusaha menghentikan penularan varian baharu Delta daripada merebak ke kawasan itu.

Setakat ini, lebih 30 orang disahkan menghidap Covid-19 sejak kluster itu timbul di bandar Bondi Beach, minggu lalu.

Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian mengumumkan sekatan baharu bermula minggu depan termasuk larangan melakukan perjalanan tidak penting keluar dari Sydney serta had tertentu bagi majlis sosial.

Sekatan itu dikenakan terhadap lima juta penduduk Sydney termasuk tujuh kerajaan tempatan yang melibatkan penularan kes Covid-19 dikesan di kawasan itu.

Restoran dan bar masih dibenarkan beroperasi seperti biasa, namun, aktiviti menyanyi dan menari tidak dibenarkan.

Acara besar masih boleh dijalankan dengan kapasiti stadium hanya terhad kepada 50 peratus.


Australia merupakan antara negara paling berjaya di dunia membendung penularan wabak Covid-19 kerana mencatatkan jumlah kes keseluruhan sebanyak 30,000 dan 910 kematian.

Wabak terbaru yang melanda dikaitkan dengan pemandu kru penerbangan antarabangsa yang dijangkiti varian Delta yang pertama kali dikenal pasti di India. -AFP

https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/06/5-juta-penduduk-sydney-dilarang-merentas/ 

 

Comments