AS kemas kini amaran radang jantung vaksin mRNA

 

WASHINGTON: Pihak berkuasa keselamatan Amerika Syarikat (AS) merancang untuk mengemas kini garis panduan pemberian vaksin COVID-19 jenis messenger asid ribonukleik (mRNA) kepada remaja dan golongan muda selepas menemui kemungkinan risiko radang jantung.

Bagaimanapun, penggunaan vaksin jenis itu lebih memberi manfaat kepada penerima berbanding risiko yang mungkin dihadapi.

Keputusan itu diumumkan pada mesyuarat pakar oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS hasil tinjauan terhadap 323 kes miokarditis dan perikarditis dikaitkan dengan penggunaan vaksin jenis berkenaan dalam kalangan individu berusia bawah 30 tahun.

Pakar Pediatrik Pusat Perubatan Kanak-Kanak Cohen, Henry Bernstein, berkata pemberian vaksin kepada remaja amat digalakkan biarpun berlaku kemungkinan risiko miokarditis dan perikarditis.

"Ia adalah kes yang jarang berlaku. Jika berlaku, risikonya amat ringan. Saya menggalakkan ibu bapa supaya memberikan vaksin ini kepada anak mereka," katanya selepas menghadiri mesyuarat berkenaan.

Daripada 323 kes, 309 daripadanya dimasukkan di hospital. Sebanyak 295 kes dibenarkan keluar hospital, sembilan kes kekal mendapatkan rawatan di hospital dan dua daripadanya dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Kes kebanyakannya dalam kalangan lelaki, berlaku selepas menerima suntikan dos kedua dan tiada kematian direkodkan.

Sementara itu, anggota badan bertindak vaksin COVID-19 CDC, Matthew Oster, berkata walaupun jumlah kes masih rendah, kadar kes membabitkan risiko terbabit dalam kalangan golongan berkenaan masih tinggi.

Katanya, kumpulan penyelidik masih melakukan pelbagai kajian berhubung perkara itu termasuk kemungkinan ia dicetuskan oleh faktor biologi.

"Miokarditis adalah penyakit yang jarang berlaku tetapi ia bukan baharu. Kadar miokarditis adalah 0.8 peratus daripada 100,000 kanak-kanak setahun," katanya - AFP

 https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2021/06/831496/kemas-kini-amaran-radang-jantung-vaksin-mrna

 

Comments