GEORGETOWN: Aktiviti pemujaan oleh seorang lelaki terbongkar selepas orang awam membuat aduan terlihat cahaya api di tingkat 31 sebuah kondominium di Persiaran Bukit Gambir, Gelugor, di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.55 pagi, Selasa lalu dan
anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak ke lokasi sejurus menerima panggilan.
Namun, katanya, sebaik bomba tiba, didapati tidak berlaku kebakaran sebaliknya cahaya api berkenaan tercetus akibat aktiviti pemujaan.
"Ketika bomba tiba, terdapat bau asap namun tiada kebakaran berlaku dan anggota membuka pintu menggunakan peralatan khas.
"Didapati seorang lelaki berusia 23 tahun sedang melakukan aktiviti pemujaan di dalam rumah itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Lelaki terbabit diserah kepada polis bagi tindakan lanjut.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
"Ya, polis ada terima laporan berkenaan," katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.
Kegiatan lelaki berkenaan turut tular di media sosial dan mendapat pelbagai maklum balas daripada warga maya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/06/832419/cahaya-api-bongkar-aktiviti-pemujaan
Comments
Post a Comment