HONG KONG: Pasangan suami isteri etnik Uighur, Mehray Mezensof dan Mirzat Taher sudah bersedia untuk meninggalkan Xinjiang dan berhijrah ke Australia bagi memulakan kehidupan baharu.
Namun, dua hari sebelum berangkat ke Melbourne, Mirzat ditahan polis China di rumahnya pada April 2017, menyaksikan pasportnya dirampas.
Empat tahun kemudian, Mirzat masih dipenjara di pusat tahanan di Xinjiang atas tiga dakwaan kesalahan yang tidak dilakukannya.
Isterinya, Mehray akhirnya pergi ke Melbourne seorang diri tanpa Mirzat di sisi, namun wanita itu tidak pernah melupakan suaminya.
Pada April tahun ini, Mehray menerima panggilan telefon yang memaklumkan suaminya sudah dibicarakan atas dakwaan terlibat dalam kegiatan pemisah dan dipenjara selama 25 tahun.
“Bagaimana mereka (China) boleh menjadi sungguh kejam? Suami saya tidak lakukan sebarang kesalahan dan kini hukuman penjaranya ditambah sehingga 25 tahun,” rintih Mehray.
Pada 2014, kira-kira 21,000 penduduk Uighur dipenjara di Xinjiang.
Empat tahun kemudian, angka tersebut meningkat hampir 133,200 dan secara keseluruhan, lebih suku juta etnik Uighur dipenjara antara 2016 dan 2018.
Semakin ramai yang dipenjara, semakin lama hukuman mereka.
Berdasarkan statistik dalam buku tahunan Xinjiang, sebanyak 87 peratus yang ditahan pada 2017 dipenjara lebih dari lima tahun dan kumpulan aktivis hak asasi menyatakan peningkatan tempoh penjara menunjukkan China semakin agresif menindas Uighur.
Dalam laporan Februari lalu, Human Rights Watch (HRW) menganalisis hampir 60 pendakwaan rasmi antara 2016 dan 2018.
Hasilnya, kebanyakan penduduk yang ditahan tidak melakukan sebarang kesalahan dan mereka disabitkan dengan tuduhan yang tidak jelas seperti menghasut, pergaduhan dan menimbulkan masalah.
“Maklumat yang diperoleh dari Pangkalan data Mangsa Xinjiang menunjukkan kadar penahanan penduduk Uighur terus meningkat sehingga tahun lalu,” jelas HRW.
Dalam laporan yang dikeluarkan oleh ASPI iaitu firma pemikir Canberra pada September lalu menunjukkan China meluaskan pembinaan pusat tahanan di Xinjiang.
Daripada 61 pusat tahanan yang diperluaskan antara Julai 2019 dan Julai 2020, lebih 50 peratus mempunyai kawalan keselamatan tinggi.
Sementara itu, China sehingga kini masih menafikan semua dakwaan dan laporan yang menunjukkan negara itu menindas penduduk Islam di Xinjiang. – AGENSI
https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/06/china-sengaja-lanjut-tempoh-penjara-penduduk-uighur/
Comments
Post a Comment