Vaksinator cucuk picagari kosong ditamatkan tugas

 

KUALA LUMPUR: Petugas kesihatan yang menyuntik picagari kosong ke atas remaja berusia 12 tahun dan tular rakaman videonya, diberhentikan daripada tugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaya (UM), berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata penamatan perkhidmatan petugas terbabit dimaklumkan Healthcare Organisation (HCO) yang dilantik di bawah ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.

Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) berkata, kerajaan memandang serius insiden itu dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan proses vaksinasi dilakukan dengan selamat dan sempurna.

Katanya, keselamatan dan kesejahteraan penerima vaksin menjadi keutamaan, manakala semua pengamal perubatan akan terus dipantau untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Memahami kegusaran ibu bapa dan bagi mengelak keraguan dalam proses vaksinasi remaja, CITF-A akan membenarkan ibu, bapa atau penjaga menemani remaja mendapatkan vaksinasi sehingga ke stesen vaksinasi untuk melihat sendiri proses diberikan.

"Hanya seorang boleh menemani remaja di bawah jagaan masuk ke kawasan PPV di Stesen 1 (saringan suhu dan gejala), Stesen 2 (pendaftaran vaksinasi), Stesen 3 (kebenaran ibu bapa atau penjaga dan konsultasi) serta Stesen 4 (pemberian vaksin) mulai esok.

"Selepas selesai proses vaksinasi, ibu atau bapa atau penjaga diminta menunggu di luar bagi memastikan kerusi disediakan di kawasan pemerhatian mencukupi untuk remaja divaksinasi duduk dan diawasi.

"Selepas tamat tempoh pemerhatian 15 hingga 30 minit, remaja akan dikembalikan kepada jagaan ibu atau bapa atau penjaga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.16 petang Rabu lalu, petugas kesihatan berkenaan dilapor tersalah mengambil picagari kosong yang belum digunakan dari ruangan meja sama dengan picagari berisi vaksin.

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata, individu dewasa yang menemani dibenar merakam proses suntikan ke atas remaja ketika proses vaksinasi.

"Seperti amalan SOP sebelum ini, petugas kesihatan (penyuntik) perlu menunjukkan picagari vaksin diisi dengan sempurna kepada penerima.

Ibu bapa atau penjaga dibenar iringi pelajar dapatkan suntikan vaksinasi. - Foto fail NSTP

"Semua petugas kesihatan dan sukarelawan terbabit diingatkan untuk menjalankan tugasan dengan penuh teliti dan bertanggungjawab.

"Kerajaan berterima kasih kepada semua petugas kesihatan dan sukarelawan yang menjadi tulang belakang kejayaan program vaksinasi kita selama ini.

"Kemajuan yang dicapai dalam masa singkat ini adalah hasil usaha anda semua, dan ini sememangnya amat dihargai semua pihak," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/871595/vaksinator-cucuk-picagari-kosong-ditamatkan-tugas

 

Comments