SINGAPURA: Sekurang-kurangnya 10 daripada 26 doktor di Indonesia yang meninggal dunia akibat COVID-19 bulan ini telah menerima kedua-dua dos vaksin yang dibangunkan oleh Sinovac Biotech Ltd., kata sebuah persatuan perubatan.
The Wall Street Journal melaporkan, ia menimbulkan pertanyaan mengenai vaksin buatan China yang sedang digunakan di banyak bahagian negara membangun.
Kumpulan mitigasi COVID-19 Persatuan Perubatan Indonesia masih berusaha untuk mengesahkan status vaksinasi dari 16 yang lain, kata Dr Adib Khumaidi, yang mengetuai kumpulan terbabit.
Menurut angka terbaru kumpulan itu, dalam jangka masa lima bulan, sekurang-kurangnya 20 doktor yang diinokulasi sepenuhnya dengan vaksin Sinovac meninggal dunia akibat COVID-19, menyumbang lebih daripada satu perlima jumlah kematian dalam kalangan doktor dalam jangka masa terbabit.
Jumlah korban mungkin meningkat lebih tinggi dalam beberapa minggu akan datang ketika negara terbabit dan hospital di seluruh negara menghadapi lonjakan jangkitan.
Ahli epidemiologi menyatakan bahawa kematian perlu disiasat dengan betul untuk menentukan sama ada faktor-faktor seperti rawatan hospital yang buruk atau penyakit kronik yang menjadi punca utama kematian terbabit.
Mereka juga menyatakan lebih banyak data diperlukan, termasuk berapa ramai doktor yang divaksinasi secara keseluruhan dijangkiti COVID-19, yang menurut kementerian kesihatan Indonesia tidak dijejaki.
Kira-kira 90 peratus doktor Indonesia - kira-kira 160,000 keseluruhan - telah divaksinasi dengan suntikan Sinovac, menurut persatuan perubatan, maka doktor yang divaksinasi dan meninggal dunia hanya sebahagian kecil dari jumlah itu.
Kematian beberapa doktor Indonesia yang divaksinasi sepenuhnya akibat COVID-19 tidak semestinya mengejutkan, kata Paul Hunter, seorang profesor perubatan di University of East Anglia di United Kingdom (UK).
Katanya, gabungan faktor mungkin berlaku, termasuk vaksin Sinovac 'mungkin tidak efektif sebagai vaksin seperti kebanyakan vaksin lain yang ada di pasaran' dan hospital Indonesia kebanyakannya tidak memiliki mesin dan kemampuan yang sama untuk menangani kes yang teruk seperti hospital di negara-negara dengan sistem kesihatan yang lebih baik.
Indonesia sangat bergantung kepada vaksin Sinovac. Suntikan itu diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk penggunaan kecemasan.
Namun, tahap keberkesanan yang luas dari ujian klinikal yang berbeza dan kurangnya ketelusan mengenai data telah menyebabkan kebimbangan dalam kalangan beberapa pakar kesihatan awam mengenai tahap perlindungan yang diberikannya serta berapa lama perlindungan itu bertahan.
Keberkesanannya dalam mencegah jangkitan simptom adalah sekitar 50 peratus dalam sebuah kajian dari Brazil, walaupun vaksin menunjukkan keberkesanan yang lebih tinggi dalam mencegah kes-kes COVID-19 yang teruk.
Pihak berkuasa di Chile April lalu menyatakan vaksin itu berkesan 80 peratus terhadap kematian dari CVID-19, dua minggu selepas dos kedua.
Pihak berkuasa Indonesia bulan lalu menyatakan bahawa kajian retrospektif yang membandingkan bagaimana doktor yang divaksinasi dan tidak divaksinasi di ibu kota, Jakarta, dalam melawan COVID-19 menunjukkan bahawa vaksin Sinovac sangat berkesan untuk mencegah kematian.
Kajian itu dilakukan sebelum gelombang jangkitan, yang sebahagiannya didorong oleh varian Delta yang sangat mudah disebarkan, yang menyumbang kepada lonjakan dahsyat di India.
Tidak diketahui berapa ramai doktor yang meninggal dunia di Indonesia bulan ini yang dijangkiti penyakit itu.
Jurucakap kerajaan menyatakan, keadaan individu doktor yang meninggal dunia itu perlu disiasat untuk membuat kesimpulan mengenai vaksin terbabit.
Di beberapa kawasan yang teruk dilanda wabak itu di Indonesia, seperti Kudus di Jawa Tengah, sebahagian besar dari beberapa ratus pekerja kesihatan yang diberi vaksin yang dijangkiti COVID-19 mengalami simptom ringan dan cepat sembuh, kata jurucakap, Siti Nadia Tarmizi.
"Tidak boleh dikatakan bahawa Sinovac tidak ideal," katanya.
Data yang dikumpulkan oleh persatuan perubatan menunjukkan jumlah kematian dalam kalangan doktor menurun dari lonjakan terakhir negara pada bulan Disember dan Januari, ketika vaksinasi baru saja bermula dan sekitar 60 doktor meninggal dunia dalam setiap dua bulan akib COVID-19.
Setakat ini pada bulan Jun, 26 doktor telah meninggal dunia. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/06/833262/covid-19-10-daripada-26-doktor-mati-disuntik-sinovac
Comments
Post a Comment