SHAH ALAM: Seramai 45,000 hingga 50,000 pekerja pembersihan bangunan dan sekolah seluruh negara berdepan risiko kehilangan pendapatan sebanyak 40 peratus berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun lalu.
Kebanyakan pekerja tersebut adalah dalam kalangan B40 yang bakal menerima gaji antara RM660 hingga RM720.
Sebelum ini mereka menerima gaji penuh bulanan sebanyak RM1,100 untuk sekolah luar bandar dan RM1,200 bagi sekolah di bandar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Gabungan Kontraktor Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) 1Malaysia, Razalee Ahmad berkata, arahan terbaharu kerajaan hanya 60 peratus pekerja dibenarkan bekerja pada satu-satu masa selaras prosedur operasi standard (SOP) PKP menyebabkan majikan terpaksa membayar gaji mengikut peratusan tersebut.
“Ini kerana majikan sendiri menerima tuntutan bayaran hanya 60 peratus sepanjang perintah pelaksanaan PKP 3.0. Di negeri ini sahaja terdapat 106 kontraktor dan lebih 4,000 pekerja yang terkesan dengan arahan baharu tersebut,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Seksyen 15 dekat sini semalam.
Razalee berkata, jika gaji pekerja pembersihan dipotong, sudah pasti mereka menghadapi masalah kewangan bagi menampung kos hidup apatah lagi dalam tempoh pandemik Covid-19 ketika ini.
Sehubungan itu, beliau mewakili seluruh kontraktor KBK selaku majikan dan pekerja pembersihan sekolah seluruh negara merayu kerajaan mempertimbang permohonan bayaran penuh 100 peratus demi kelangsungan perniagaan dan kebajikan pekerja pembersihan sekolah.
Mengulas lanjut arahan kerajaan itu, beliau berkata, sepatutnya pekerja pembersihan dibenarkan hadir dengan kehadiran 100 peratus kerana kawasan sekolah yang luas dengan purata empat hingga lapan hektar hanya mempunyai dua hingga enam pekerja.
“Bukanlah masalah besar untuk SOP penjarakan fizikal dipatuhi kerana tapak sesebuah sekolah adalah luas dengan blok bangunannya mempunyai jarak jauh antara satu sama lain.
“Kami memohon arahan 60 peratus pekerja bekerja dalam satu masa dikaji semula kerana pembayaran 100 peratus gaji berdasarkan kerja 100 peratus akan memberi manfaat kepada golongan B40 terbabit,” katanya.
https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/gaji-50000-pekerja-pembersihan-bangunan-sekolah-dipotong/
Comments
Post a Comment