PUTRAJAYA: Sebanyak 109,806 daripada 122,328 panggilan yang diterima Talian Bantuan Sokongan Psikososial adalah berkait rapat dengan isu-isu psikologi yang dihadapi rakyat selepas berdepan pelbagai masalah sosial.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah panggilan terbabit direkodkan sejak 1 Januari sehingga 18 Jun lalu.
Katanya, antara isu yang berbangkit iaitu kehilangan punca pekerjaan dan pendapatan, hilang tempat bergantung, pergaduhan antara ahli keluarga serta masalah rumahtangga seperti pertengkaran, perpisahan, penceraian, penderaan emosi dan fizikal.
“Sekiranya dibahagi mengikut kategori, sokongan emosi atau kaunseling sebanyak 109,388 panggilan, maklumat berkenaan Covid-19 (6,163), isu perhubungan kekeluargaan (2,660), aduan umum (2,526), keperluan atau bantuan asas (453), kerohanian (446), isu Kesihatan (437), penjagaan anak (99), psikiatri (68), bantuan kewangan (59) dan keganasan atau keganasan domestik (29).
“Masyarakat sememangnya diketahui terkesan dari segi emosi dan kesihatan mental malah ia tidak hanya dialami kakitangan di sektor awam dan petugas kesihatan atau barisan hadapan tetapi tekanan turut dirasai golongan lain dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, pihaknya telah mewujudkan beberapa inisiatif seperti bekerjasama dengan MERCY Malaysia dalam memberikan perkhidmatan talian bantuan sokongan psikososial yang berpusat di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) sejak 25 Mac 2020.
Katanya, talian ini dikendalikan pegawai psikologi kaunseling KKM serta dibantu sukarelawan pegawai psikologi agensi-agensi lain dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Pihak kementerian bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan mewujudkan talian bantuan masing-masing iaitu KSK Care (JAKIM) dan Talian KASIH.
“Selain itu, perkhidmatan kepakaran psikiatri oleh para pakar yang melaporkan peningkatan jumlah pesakit yang datang mendapatkan konsultasi manakala di peringkat lapangan seperti hospital dan klinik kesihatan, Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) turut disediakan untuk kumpulan sasar,” katanya.
https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/hilang-punca-pendapatan-pergaduhan-ahli-keluarga-antara-isu-direkodkan-talian-bantuan/
Comments
Post a Comment