PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membekukan penghantaran pelajar bermula sesi 2019/2020 sehingga kini susulan tiada sebarang keputusan atau makluman rasmi kerajaan Mesir berhubung status pengiktirafan melibatkan tujuh universiti mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Bahagian Education Malaysia KPT, Redhauddin Kamaruzaman berkata, pembekuan itu dibuat selepas pelaksanaan program baharu bidang perubatan yang dimulakan Kementerian Pendidikan Tinggi Mesir bagi sesi pengajian 2018/2019.
Bagaimanapun katanya, terdapat sebahagian ejen swasta masih meneruskan proses penghantaran pelajar dan menghantar seramai pelajar untuk memulakan pengajian di Mesir pada 2019.
“Berdasarkan laporan awal yang diterima KPT, seramai 214 pelajar yang sedang mengikuti program perubatan di tujuh universiti tersebut bakal terkesan maka pihak KPT melalui Pejabat Education Malaysia Mesir mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Pelajar Sains Kesihatan di Mesir bagi mendapatkan maklum balas dalam kalangan pelajar berkaitan isu pengiktirafan ini.
“Hasil dapatan daripada libat urus tersebut, KPT akan mengadakan perbincangan rasmi dengan kesemua pihak yang terlibat iaitu Majlis Perubatan Malaysia (MPM) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi membincangkan perkara ini selain mengenal pasti kaedah dan langkah-langkah yang boleh diambil dalam membantu kesemua pelajar yang terlibat,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu pengiktirafan pelajar jurusan perubatan di tujuh universiti di Mesir seperti yang dinyatakan Presiden MPM yang juga Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah baru-baru ini.
Noor Hisham berkata, Mesyuarat MPM ke-407 pada 22 Jun lalu memutuskan jurusan perubatan di tujuh universiti Mesir wajib memenuhi syarat kelayakan minimum kemasukan yang ditetapkan kerajaan Malaysia bagi mengelakkan masalah pengiktirafan pengamal perubatan di negara ini.
“Keputusan tersebut dibuat selepas MPM menerima pemakluman program jurusan perubatan di tujuh universiti iaitu Universiti Iskandariah, Universiti Ain Shams, Universiti Cairo, Universiti Tanta, Universiti Mansoura, Universiti Zagazig dan Universiti Al-Azhar telah memendekkan tempoh pengajian daripada enam tahun kepada lima tahun pengajian.
“Selain syarat kemasukan minimum yang tidak dipenuhi, bakal graduan itu mungkin berhadapan dengan masalah untuk berdaftar bersama MPM malah, tujuh universiti tersebut mungkin akan dikeluarkan dari senarai universiti yang diiktiraf dalam Jadual Kedua, Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012) sekiranya perkara ini berlanjutan,” katanya.
https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/kpt-beku-sejak-2019-ejen-masih-tarik-pelajar/
Comments
Post a Comment