WASHINGTON: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) memanggil sekumpulan pakar hari ini, bagi meneliti data berkaitan lebih 300 kes yang disahkan mengalami keradangan jantung membabitkan remaja dan golongan muda selepas menerima vaksin mRNA COVID-19.
Jawatankuasa itu akan mendengar analisis risiko-manfaat bagi mengetahui sama ada suntikan vaksinCOVID-19 itu boleh mengakibatkan miokarditis, serta kes keradangan pada tisu jantung atau perikarditis.
"Kes sedemikian jarang berlaku dan sebahagian besarnya diselesaikan sepenuhnya dengan rawatan rehat dan sokongan perubatan," kata Pengarah CDC, Rochelle Walensky.
Beliau berkata, kes yang disahkan itu sudah disiasat berdasarkan laporan awal sistem pemantauan keselamatan vaksin, dan kes itu membabitkan lebih daripada 20 juta remaja dan golongan muda yang sudah divaksin.
Meskipun 300 kes yang dilaporkan daripada 20 juta orang adalah bilangan kecil, namun ia masih tinggi daripada yang dijangkakan terhadap kumpulan umur terbabit.
Mesyuarat mengenai isu sama oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS pada 10 Jun lalu, mendapati kebanyakan kes membabitkan remaja lelaki dalam tempoh seminggu selepas selesai disuntik dos kedua vaksin COVID-19.
Pengarah Penyakit Berjangkit Pediatrik di Pusat Perubatan Pediatrik Cohen, Lorry Rubin berkata kepada AFP, beliau bimbang dengan keadaan itu dan menekankan puncanya masih belum dikenal pasti.
Katanya, hospitalnya juga turut menyaksikan beberapa kes remaja lelaki mengalami sakit dada sehari atau dua hari selepas suntikan dos kedua vaksin mRNA.
Ketika ini, vaksin COVID-19 Pfizer adalah satu-satunya vaksin yang dibenarkan kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas.
Menurut Rubin, pesakitnya kembali sembuh dalam tempoh beberapa hari selepas diberikan ubat-ubatan seperti ibuprofen.
Miokarditis diketahui bermusim, dengan kejadian yang lebih tinggi pada musim panas biasa dikaitkan dengan enterovirus, dan dianggarkan memberi kesan satu per 100,000 kanak-kanak setiap tahun.
Sementara itu, presiden Akademi Pediatrik Amerika, Lee Savio Beers, pihaknya sedar ada ramai kanak-kanak mengalami kesan COVID-19 berpanjangan, dengan sebilangannya mengalami gejala sakit jantung di hospital. -AFP
https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2021/06/831134/kaji-masalah-jantung-kalangan-remaja-selepas-divaksin
Comments
Post a Comment