Kedegilan patuh SOP punca COVID-19 sukar pergi

 

Melihat perkembangan dan angka kes COVID-19 seluruh dunia, kita masih perlu berwaspada.

Meskipun ada negara menyaksikan rakyatnya menjalani kehidupan biasa, namun masih ada negara mengambil langkah berjaga-jaga apabila kes COVID-19 kembali meningkat walaupun dalam tempoh program vaksinasi sedang berlangsung.

Perkembangan ini agak membimbangkan, terutama apabila muncul varian baharu COVID-19 yang disyaki menjadi punca melonjaknya kes positif.

Di Russia misalnya, kes mendadak naik berlipat kali ganda dengan keupayaan varian baharu ini tersebar lebih cepat. Jumlah kes COVID-19 terus meningkat di India dengan kematian 1,587 kematian dalam tempoh 24 jam.

Negara jiran kita iaitu Indonesia, turut mencatat jumlah harian tertinggi kes COVID-19 sejak Januari.

Semua angka ini perlu dijadikan pengajaran bahawa usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 bukan suatu perkara mudah. Adakah ia disebabkan kerajaan mereka gagal mengawal situasi yang berlaku?

Bagi yang suka menuding jari kepada pihak lain, ia memang mudah dilakukan.

Tidak dinafikan, kerajaan perlu bertanggungjawab untuk mencari jalan keluar kepada bencana kesihatan ini. Institusi kerajaan dan awam perlu digembleng bagi membantu rakyat supaya dapat keluar menjalani kehidupan biasa semula.

Sehingga kini, banyak inisiatif dan bantuan daripada kerajaan untuk meringankan beban kewangan juga kehidupan rakyat. Paling terkini, Pelan Pemulihan Negara berhasrat untuk melihat Malaysia keluar daripada krisis ini.

Pelan yang mempunyai empat fasa ini menyasarkan 60 peratus populasi negara menerima dua dos vaksin, manakala semua sektor ekonomi dibuka dan aktiviti rentas negeri dibenarkan dalam tempoh Oktober hingga Disember akan datang.

Namun, apabila kita berhadapan krisis kesihatan terburuk seperti COVID-19, pendekatan tanggungjawab bersama sangat diperlukan. Ia bukan peranan kerajaan semata-mata atau rakyat sahaja.

Peranan bersama antara kerajaan dan rakyat yang memikul tanggungjawab masing-masing dapat membantu kita keluar daripada krisis ini.

Apabila berbicara mengenai jalan keluar COVID-19, pemberian vaksin kini menjadi isu dan cabaran utama. Sehingga artikel ini ditulis, hampir empat juta penduduk Malaysia sudah divaksin.

Kaedah pemberian vaksin juga semakin inklusif apabila tidak lagi tertumpu kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berpusat, sebaliknya dilakukan melalui pelbagai pendekatan seperti pandu lalu.

Jika dahulu, kita perlu ke tempat pemberian vaksin. Mungkin ada dalam kalangan kita sukar bergerak, terutama warga emas. Kini, vaksin pergi ke tempat kita iaitu di masjid, surau mahupun pondok seperti yang diusahakan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).

Kita percaya, usaha yang baik ini perlu disambut dan disokong demi kebaikan bersama. Pada masa sama, PPV berskala besar terus diusahakan kerajaan.

Sebagai contoh, Stadium Nasional Bukit Jalil digunakan sebagai PPV mulai hari ini dengan kemampuan kapasiti sehingga 10,000 dos sehari. Langkah ini selaras Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan baru-baru ini bagi meningkatkan program imunisasi negara.

Bagaimanapun, kurang separuh daripada rakyat Malaysia yang sudah berdaftar melalui aplikasi MySejahtera. Hanya kira-kira 15 juta penduduk mendaftar dan Sabah mencatatkan pendaftaran paling rendah, iaitu 28.18 peratus atau 777,211 orang. Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatat pendaftaran penuh, iaitu 100 peratus.

Kerajaan menyasarkan 80 peratus rakyat Malaysia divaksin penghujung tahun ini. Justeru, rakyat perlu diberikan lagi dorongan supaya terus mendaftar dan untuk divaksin.

Tidak dinafikan, masih ramai di luar sana kurang peka dan terpengaruh dengan pandangan antivaksin yang akhirnya merugikan mereka sendiri. Melihat kepada statistik diberikan itu, masih ramai mendaftar dan belum lagi divaksin. Tidak dinafikan, ramai gusar dan bimbang.

Ada yang kecewa dan berputus harap hingga menuding kesalahan, termasuk kepada kerajaan dan pihak berkuasa. Kita sangat memahami sentimen dan kegelisahan masyarakat ketika ini.

Namun, perlu diingatkan bahawa pemberian vaksin adalah berfasa atau berperingkat. Fasa pertama diberikan kepada golongan barisan hadapan terlebih dahulu seperti polis, tentera, imigresen, doktor, jururawat, kakitangan hospital, wakil rakyat, guru dan kakitangan Jabatan Kesihatan Malaysia (JKM).

Fasa kedua pula memberi fokus kepada mereka yang mempunyai penyakit kronik dan warga emas. Selain itu, kumpulan wartawan yang sentiasa berkejar-kejar mencari dan melaporkan berita untuk kita semua diberikan keutamaan untuk menerima vaksin baru-baru ini.

Kini, sudah semakin ramai kenalan kita sempurna menerima dua dos vaksin, sementara yang lain menunggu suntikan dos kedua. Ada yang mendapat tarikh suntikan kedua dan menunggu dengan penuh harapan.

Bulan depan, bekalan vaksin dijangka stabil apabila 16 juta dos akan sampai di negara ini. Ini bermakna, lebih ramai rakyat Malaysia akan menerima dos masing-masing. Buat sementara waktu ini, patuhilah SOP dan lindungi diri supaya jangkitan dapat dielakkan.

Kita sangat bimbang dengan banyak kes pelanggaran SOP dalam kalangan masyarakat.
Berita seperti mengadakan pesta dan keraian seperti dilaporkan media saban hari, sememangnya mengecewakan kita.

Lebih banyak PPV dibuka  bagi mencapai sasaran 80 peratus rakyat Malaysia divaksin penghujung tahun ini. - Foto Danial Saad

Kedegilan COVID-19 untuk pergi daripada kita juga berpunca daripada kedegilan sebahagian kita melakukan perkara yang perlu. Apa yang jelas, sama ada kerajaan mahupun kita sebagai rakyat, perlu bersama-sama menjadikan COVID-19 sebagai musuh bersama yang nyata.

Ketika krisis ini, kita perlu mengenali siapakah musuh dan lawan sebenar. Jangan disebabkan perbezaan fahaman politik, kita tidak boleh berfikir secara rasional dan bertindak melulu.

Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

https://www.bharian.com.my/kolumnis/2021/06/830307/kedegilan-patuh-sop-punca-covid-19-sukar-pergi

 

 

Comments