JAKARTA: Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan air ke arah penyokong pendakwah Muslim yang dipenjara hari ini, kerana menyebarkan maklumat palsu mengenai COVID-19 selepas mengadakan demonstrasi membabitkan ribuan orang.
Rizieq Shihab, 55, dipenjara selama empat tahun ekoran video tular mendakwa dia sihat, walaupun mengetahui hasil ujian menunjukkan mungkin dijangkiti COVID-19.
Ribuan orang berdemonstrasi di luar mahkamah di Jakarta, menyokong pendakwah berpengaruh Front Pembela Islam (FPI) yang diharamkan, awal tahun ini.
Polis berkata, lebih 50 orang penunjuk perasaan ditahan.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah sama memenjarakan Shihab selama lapan bulan kerana memberi khutbah dan perhimpunan lain membabitkan puluhan ribu pengikut, Mei lalu, kerana bertentangan larangan di negara antara paling teruk dilanda COVID-19 di Asia.
Shihab mendesak penyokong menghadiri khutbah, Maulidul Rasul dan pernikahan anak perempuannya.
Ramai penyokong hadir tanpa memakai pelitup muka atau jarak sosial.
Pendakwah itu kemudian dirawat di hospital kerana disyaki dijangkiti COVID-19.
Bagaimanapun, ia dirahsiakan seorang pengarah hospital yang turut dipenjara selama setahun, hari ini, kerana kes terbabit.
Pendakwah berkarisma itu kembali ke Indonesia tahun lalu, selepas melarikan diri ke Arab Saudi, pada 2017, kerana menjadi suspek kes pornografi. Tuduhan itu digugurkan.
Dia ditahan atas tuduhan berkaitan virus, pada Disember lalu, selepas polis Jakarta menembak mati enam pengikut FPI dalam pertempuran bersenjata di lebuh raya yang disifatkan pihak berkuasa sebagai tindakan mempertahankan diri dengan tuntutan itu dipertikaikan kumpulan berkenaan.
FPI terkenal di Indonesia kerana menyasarkan kelab malam dan tempat lain dianggap tidak bermoral serta menyerang mazhab minoriti Muslim yang disifatkan menyimpang.
Dia antara tokoh utama di sebalik demonstrasi besar-besaran terhadap Gabenor Jakarta ketika itu, Basuki Tjahaja Purnama, atas dakwaan dia menghina al-Quran, pada 2016. - AFP
https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/06/831745/kekecohan-ekoran-pendakwah-dipenjara-kerana-pembohongan-virus
Comments
Post a Comment