LONDON: Dua remaja mendakwa menemukan seekor lintah di dalam burger McDonald yang dibelinya daripada restoran makanan segera itu di Stoke, Staffordshire.
Lapor Metro, John Bakin, 19 dan teman wanitanya, Aimee Welch, 18, berasa jijik selepas menemui lintah dalam menu burger terbaharu restoran itu.
Bakin mendakwa dia menjumpai haiwan lembik itu selepas membuka bungkusan burger untuk lihat timun jeruk ada diletakkan atau tidak.
“Ia amat menjijikkan untuk melihat lintah itu. Saya tidak mahu pergi atau makan di restoran itu lagi,” katanya.
Menurut Welch, teman lelakinya membuka bungkusan burger itu dan menemui sejenis objek yang berlendir.
“Ia berada di atas keju dan daun salad, apabila melihatnya dengan lebih dekat kami dapati ia adalah lintah,” ujarnya.
Welch berkata, mereka kemudian mengembalikan semula burger tersebut kepada cawangan restoran itu pada waktu petang.
Namun, pasangan kekasih itu hanya diberi pulangan wang sebanyak 5 pound (RM29).
Dalam pada itu, jurucakap restoran makanan segera berkenaan meminta maaf kepada pasangan remaja tersebut atas insiden yang berlaku.
Katanya, siasatan mendapati tiada bukti menunjukkan bahawa burger itu tercemar.
https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/06/remaja-jumpa-lintah-dalam-burger-mcdonald/
Comments
Post a Comment