Malaysia mampu harungi kesan PKP Penuh - Moody's Investors

 

KUALA LUMPUR: Kepelbagaian produk dan destinasi eksport membolehkan Malaysia meraih manfaat daripada peningkatan semula perdagangan global dan menyokong output meskipun lanjutan sekatan pergerakan penuh dilaksanakan sehingga akhir bulan ini, demikian kata Moody's Invetors Service.

Ia berkata, negara ini sudah beralih kepada aktiviti tambah nilai tinggi sejak beberapa tahun lalu, sekali gus mengurangkan secara ketara kebergantungan kepada komoditi.

Katanya, eksport barangan Malaysia adalah bernilai 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020.

"Di bawah sekatan pergerakan, kerajaan menghentikan aktiviti ekonomi kecuali dalam perkhidmatan penting dan sektor pembuatan terpilih, termasuk mereka yang utama kepada eksport, di samping melarang aktiviti sosial, perjalanan antara negeri, menutup pusat membeli-belah dan mengehadkan pergerakan isi rumah," katanya dalam nota penyelidikannya.

Moody's Investors Service berkata, kira-kira 13 peratus penduduk negara ini telah menerima dos pertama vaksin dan kerajaan juga mengumumkan langkah bantuan bernilai RM40 bilion, atau sekitar tiga peratus daripada KDNK ketika sekatan pergerakan dilaksanakan.

Justeru, pihaknya menjangkakan KDNK benar Malaysia akan terus meningkat lebih 5.0 peratus pada 2021, dengan andaian bahawa tahap sekatan semasa membolehkan pihak berkuasa mengawal kadar jangkitan COVID-19 di bawah kawalan.

Dalam laporan terkini itu, Moody's Investors Service berkata, peningkatan kes jangkitan COVID-19 di samping kadar vaksinasi rendah di Asia Pasifik (APAC) menimbulkan risiko baharu terhadap permintaan domestik, walaupun pemulihan global akan menyokong ekonomi yang berorientasi eksport di rantau berkenaan.

Ia berkata, sekatan pergerakan baharu untuk membendung penularan virus akan mengekang permintaan domestik dan melemahkan keyakinan pengguna.

(Gambar fail) Permandangan bandaraya Kuala Lumpur. - NSTP/OSMAN ADNAN

Katanya, bagi ekonomi yang secara relatif bergantung kepada permintaan domestik, peningkatan semula jangkitan akan menjejaskan aktiviti pengeluaran dengan teruk.

"Kadar vaksinasi rendah di kebanyakan bahagian APAC, dengan hanya Maldives, Mongolia, Singapura dan China memberikan dos vaksin pertama kepada sekurang-kurangnya 40 peratus penduduk mereka," katanya.

Moody's Investors Service berkata, bagi ekonomi yang lebih berorientasikan eksport, sumbangan yang besar daripada perdagangan akan mengimbangi permintaan domestik yang lemah dan meningkatkan output, selagi penutupan kilang dan tapak pemprosesan eksport yang berkaitan COVID-19 adalah terhad.

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/06/831211/malaysia-mampu-harungi-kesan-pkp-penuh-moodys-investors

 

 

Comments