Moscow catat 9,120 kes COVID-19 baharu

 

MOSCOW: Ibu negara Russia mencatatkan 9,120 kes baharu pandemik COVID-19 iaitu rekod kenaikan tertinggi selama dua hari berturut-turut.

Seorang wanita menunggu giliran menerima suntikan vaksin COVID-19 Sputnik V Gam-COVID-Vac di sebuah pusat inokulasi di Moscow, Russia. - Foto EPA

Jumlah itu meningkat berbanding 9,056 kes baharu pada hari sebelumnya selain menyaksikan katil hospital di bandar raya itu dipenuhi pesakit COVID-19 susulan dijangkiti varian Delta.

Menurut Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin, jumlah kes baharu itu meningkat dengan ketara berbanding sekitar 3,000 kes harian dua minggu lalu dengan varian Delta yang pertama kali dikesan di India, menyumbang hampir 90 peratus kes baharu.

Beberapa langkah drastik terpaksa diambil di mana Sobyanin menutup zon peminat pertandingan Bola Sepak EURO 2020, melarang perhimpunan melebihi 1,000 orang dan menggantung sebarang acara serta dewan tarian tertutup.

Beliau turut melanjutkan beberapa langkah kawalan yang diumumkan pada minggu lalu seperti penutupan pusat beli belah dan dewan makanan, zoo, taman permainan, bar serta restoran mulai jam 11 malam hingga 6 pagi.

Katanya, langkah terbabit perlu diambil kerana hospital di ibu negara Russia itu kini dipenuhi dengan pesakit COVID-19.

Bagaimanapun, langkah paling drastik diambil Sobyanin adalah mewajibkan penduduk di bandar raya itu mengambil vaksin dengan 60 peratus daripadanya dijangka menerima inokulasi penuh menjelang 15 Ogos ini.

Gelombang baharu penularan COVID-19 hadir ketika bandar raya kedua terbesar Russia, Saint Petersburg, menjadi lokasi EURO 2020 terutama kejohanan suku akhir pada 2 Julai ini, yang dijangka menarik ribuan peminat.

Saint Petersburg sebelum ini mengumumkan kawalan lebih ketat pada penganjuran kejohanan berkenaan termasuk melarang penjualan makanan di zon peminat. - AFP

bharian.com.my/dunia/eropah/2021/06/829790/moscow-catat-9120-kes-covid-19-baharu

 

 

Comments