Parlimen : UMNO perlu segera keluar daripada kerajaan PN

 

KUALA TERENGGANU: UMNO perlu mempertimbang menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar tidak terus terpalit dengan politik derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, kepemimpinan tertinggi parti diminta segera membuat keputusan berkenaan jika kerajaan sedia ada masih bersikap acuh tidak acuh dalam merealisasikan titah berhubung sidang Parlimen.

Katanya, sebagai kerajaan yang mendukung tinggi prinsip demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaaan, PN seharusnya memahami titah pandangan dan pendirian Seri Paduka dan Raja-Raja Pemerintah.

“Titah berkenaan sebagai panduan kerajaan dalam menyelesaikan kemelut rakyat kini dan bukannya membuat tafsiran-tafsiran di luar konteks asal.

“Kelewatan pelaksanaan titah itu sekali gus menggambarkan tindakan berpolitik yang menjurus kepada penderhakaan dan kita mencadangkan agar UMNO segera keluar, jika kerajaan masih acuh tidak acuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mendesak kepemimpinan tertinggi parti untuk membuat keputusan tegas sekiranya kerajaan tidak mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Tengku Haphiz berkata, Parlimen merupakan platform rasmi untuk wakil-wakil rakyat berbahas mencari formula paling ampuh dalam membantu mempercepatkan proses vaksinasi Covid-19 dan program bantuan ekonomi kepada rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Katanya, sikap sambil lewa kerajaan Pusat melayani permintaan Terengganu berhubung peruntukan tambahan PKP 3.0 turut menimbulkan rasa kecewa.

“Penting bagi kami Parlimen bersidang segera untuk wakil rakyat negeri menyampaikan hasrat rakyat yang sangat memerlukan bantuan tunai terutama kelompok B40,” katanya. – UTUSAN ONLINE

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/parlimen-umno-perlu-segera-keluar-daripada-kerajaan-pn/

Comments