Pemanasan global beri impak besar kehidupan manusia

 

PARIS: Draf laporan Panel Penasihat Sains Iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi gambaran lengkap bagaimana pemanasan bumi akan memberi impak besar dan mempengeraruhi kesihatan, kekayaan dan kesejahteraan manusia.

AFP mempunyai akses eksklusif kepada draf Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), yang akan diterbitkan tahun depan.

Laporan itu menunjukkan bagaimana perubahan iklim mengurangkan pengeluaran tanaman utama di seluruh dunia dan dijangka akan mempengaruhi hasil sepanjang abad ke-21, sekali gus memberikan tekanan lebih besar kepada negara dengan jumlah penduduk yang ramai.

Draf Laporan itu menyatakan, di antara tahun 2015 dan 2019, dianggarkan 166 juta orang, terutama di benua Afrika dan Amerika Tengah memerlukan bantuan kemanusiaan kerana keadaan darurat makanan yang berkaitan dengan iklim

Peningkatan kadar karbon dioksida juga akan menurunkan kualiti tanaman dan mengurangkan mineral serta nutrien penting dalam bahan makanan utama

Walaupun terdapat tahap perkembangan sosio ekonomi yang lebih tinggi, hampir 10 juta kanak-kanak akan kekurangan khasiat makanan dan terbantut tumbesaran pada tahun 2050, seterusnya akan mendedahkan mereka kepada risiko kesihatan seumur hidup.

Potensi penangkapan perikanan laut di mana berjuta-juta orang bergantung sebagai sumber protein utama, diunjurkan turun 40 hingga 70 peratus di kawasan tropika Afrika jika pelepasan gas karbon terus berlarutan dan tidak dikawal dengan berkesan.

Mengurangkan penggunaan daging merah dan menggandakan pengambilan kacang, buah-buahan dan sayur-sayuran dapat mengurangkan pelepasan gas yang berkaitan dengan makanan sebanyak 70 peratus pada pertengahan abad dan menyelamatkan 11 juta nyawa menjelang 2030.

Sementara itu, kenaikan suhu akan mengurangkan keupayaan fizikal untuk bekerja dengan sebahagian besar penduduk di Asia Selatan, Afrika sub-Sahara dan sebahagian Amerika Tengah dan Selatan, dengan unjuran kehilangan hingga 250 hari kerja setahun menjelang 2100.

Tambahan 1.7 bilion orang pula akan terdedah kepada cuaca panas terik dan 420 juta orang lagi mengalami gelombang panas melampau jika bumi semakin panas sebanyak dua darjah selsius berbanding 1.5 darjah selsius seperti dalam Perjanjian Paris.

Menjelang 2080, ratusan juta penduduk bandar di sub-Sahara Afrika dan Asia Selatan dan Tenggara berhadapan lebih daripada 30 hari keadaan panas melampau yang boleh menyebabkan peningkatan kadar kematian setiap tahun.

Banjir berkemungkinan akan menyebabkan 2.7 juta orang tempat tinggal setiap tahun di Afrika. Jika pelepasan karbon tidak dikurangkan , lebih daripada 85 juta orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka di sub-Sahara Afrika kerana kesan yang disebabkan oleh iklim pada tahun 2050.

Gambar fail menunjukkan kanak-kanak perempuan membawa bekas plastik untuk mengambil bekalan air bersih di kawasan kejiranan miskin di pinggir bandar Tegucigalpa, Honduras. - Foto fail AFP

Peningkatan pemanasan 1.5 darjah selsius akan menyaksikan penduduk akan terjejas sebanyak dua atau tiga kali ganda disebabkan banjir di Colombia, Brazil dan Argentina, empat kali ganda di Ecuador dan Uruguay, serta lima kali ganda di Peru.

Seramai 170 juta orang pula dijangka akan menghadapi tempoh kemarau yang melampau jika pemanasan iklim meningkat dan mencapai tahap tiga darjah selsius, dengan jumlah penduduk di Eropah yang berisiko tinggi maut akan meningkat tiga kali ganda. - AFP

https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/06/831145/pemanasan-global-beri-impak-besar-kehidupan-manusia

 

 

Comments