Penduduk Palestin tuntut Mahmoud Abbas letak jawatan

 

HEBRON: Penduduk Palestin menggesa perubahan kerajaan dilaksanakan segera susulan kematian seorang aktivis, Nizar Banat yang ditangkap oleh pihak berkuasa Palestin (PA).

Ribuan penduduk berhimpun di jalanan di Tebing Barat sambil melaungkan ‘Rakyat mahu rejim dijatuhkan’ dan ‘Undur, Undur Abbas’.

Penduduk malah mengibarkan bendera Palestin dan bendera Hamas yang menuntut Presiden, Mahmoud Abbas meletakkan jawatan.

Peserta protes berhimpun di Ramallah dan di luar pekarangan Masjid Al-Aqsa.

Keluarga Nizar berkata, PA memecah masuk rumahnya awal pagi Khamis lalu dan memukul mangsa berulang kali menggunakan batang logam sebelum menahannya.

Nizar, 43, merupakan aktivis sosial yang mendedahkan Abbas melakukan rasuah termasuk pertukaran vaksin Covid-19 dengan Israel bulan ini dan penangguhan pilihan raya terlalu lama. -REUTERS

https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/06/penduduk-palestin-tuntut-mahmoud-abbas-letak-jawatan/

Comments