KOTA BHARU: Sekumpulan peniaga kecil di Pengkalan Chepa di sini mendakwa nasib mereka terabai begitu sahaja kesan daripada pembatalan bazar Ramadan pada saat akhir di negeri ini pada April lalu.
Ini kerana sehingga kini mereka belum menerima semula wang pendahuluan sewa tapak sebanyak RM220 kepada pengendali bazar Ramadan di Taman Bendahara.
Lebih mengecewakan, ada pula antara mereka ‘tercicir’ daripada kira-kira 2,500 peniaga bazar Ramadan yang disenaraikan sebagai penerima sagu hati khas yang semuanya berjumlah RM1.5 juta sumbangan kerajaan negeri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, wakil kumpulan itu, Mohd. Nazri Hussin, 41, berkata, selain dia sendiri, terdapat kira-kira 30 peniaga lain yang belum menerima wang pendahuluan bayaran tapak tersebut.
“Kami tertanya-tanya bilakah wang tersebut akan dikembalikan kerana sudah dua bulan berlalu. Kami terkejut apabila diberitahu 80 peniaga lain sudah menerima wang pendahuluan masing-masing.
“Saya segera menghubungi wakil pengendali bazar, namun diminta bertanyakan penghulu. Bagaimanapun penghulu pula mendakwa tidak tahu menahu tentangnya. Sekarang kami sudah buntu tidak tahu hendak mengadu kepada siapa,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Dakwa Mohd. Nazri, semua pihak seolah-olah cuba lepas tangan sedangkan wang itu amat diperlukan lebih-lebih lagi kesemua peniaga kini hidup dalam kesempitan akibat pelaksanaan total lockdown yang masih berlarutan.
“Wang RM220 itu tidak banyak mana, namun dalam keadaan terdesak begini, ia amat bermakna bagi kami. Takkan wang itu lesap begitu sahaja sedangkan kami tidak berpeluang untuk berniaga di bazar pun sepanjang Ramadan lalu?” katanya.
Mohd. Nazri yang membuka kedai makan di Jalan Long Yunus, di sini berkata, kedainya sendiri sudah berbulan-bulan tertunggak bayaran sewa dan demi kelangsungan hidup, dia terpaksa mengambil inisiatif berniaga durian di hadapan kedainya.
Peniaga minuman dalam balang hanya mahu dikenali sebagai Nik, 30, pula berkata, perkara menimpa mereka seolah-olah tidak selari dengan ‘usaha’ kerajaan negeri yang dari semasa ke semasa mengumumkan bantuan kepada rakyat termasuk peniaga kecil sepertinya di media sosial.
“Minggu lepas, kerajaan negeri umum pula peruntukan tambahan sebanyak RM2.25 juta sebagai bantuan fasa dua kepada peniaga kecil yang terjejas sepanjang tempoh total lockdown ini.
“Bantuan fasa pertama pun sampai sekarang saya tidak rasa, apatah lagi bantuan fasa kedua. Usah cakap soal bantuan kalau wang deposit RM220 yang memang hak kami pun belum dipulangkan,” bidasnya.- UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasional/2021/06/peniaga-kelantan-tanya-mana-wang-deposit-bazar-ramadan/
Comments
Post a Comment