Ribuan terkandas di Dhaka ketika Bangladesh mulakan perintah berkurung hari ini

 

DHAKA: Ribuan penduduk terkandas di Dhaka selepas pihak berkuasa Bangladesh melaksanakan perintah berkurung selama tujuh hari bermula hari ini bagi mengawal penularan Covid-19.


Perintah berkurung itu menyaksikan semua sistem pengangkutan awam dihentikan dan penduduk tidak dibenarkan keluar dari rumah, melainkan terdapat urusan kecemasan.

Bangladesh merekodkan sebanyak 119 kematian akibat Covid-19 semalam dan merupakan yang tertinggi sejak pandemik bermula di negara ini.

Selain itu, kes jangkitan pula dicatatkan melebihi 5,000 sejak beberapa hari lalu.

Pihak berkuasa kesihatan Bangladesh mendakwa penularan varian Delta menjadi faktor peningkatan kes jangkitan.

Pengumuman perintah berkurung itu mencetuskan panik dalam kalangan penduduk dengan puluhan ribu cuba ‘melarikan diri’ ke kampung halaman masing-masing.

Perintah berkurung itu juga menyaksikan ribuan golongan pekerja terpaksa berjalan kaki ke tempat kerja masing-masing memandangkan sektor pekerjaan tidak penting akan ditutup mulai Rabu ini.

Ada dalam kalangan mereka yang perlu berjalan selama beberapa jam susulan penutupan sementara operasi pengangkutan awam. – AFP

https://www.utusan.com.my/luar-negara/asia-tenggara/2021/06/ribuan-terkandas-di-dhaka-ketika-bangladesh-mulakan-perintah-berkurung-hari-ini/ 

 

Comments