SINGAPURA: Negara ini berhasrat menamatkan kebimbangan orang ramai mengenai pandemik Covid-19 dengan menganggapnya sebagai serangan selesema biasa atau penyakit endemik lain.
Akhbar Singapura, The Straits Times melaporkan virus itu akan terus bermutasi dalam masyarakat dan penduduk negara ini perlu membiasakan diri hidup dengan wabak itu.
Menteri Perdagangan Singapura, Gan Kim Yong, Menteri Kewangan, Lawrence Wong dan Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung menerusi kenyataan bersama menjelaskan ramai orang akan menghidap selesema dan sembuh tanpa perlu dimasukkan ke hospital.
Malah, kemungkinan individu jatuh sakit akibat influenza adalah sangat rendah dan ramai orang hidup dengannya.
“Berita buruknya adalah wabak Covid-19 tidak akan berlalu pergi, manakala, berita baiknya adalah besar kemungkinan untuk kita hidup seperti biasa dengan Covid-19,” kata mereka.
Negara yang mempunyai penduduk seramai 5.7 juta itu akan menarik balik arahan kuarantin bagi pengunjung serta kes kontak rapat tidak perlu melakukan kurantin kendiri.
Singapura juga mengambil langkah untuk tidak mengumumkan lagi perkembangan kes harian.
Negara itu turut merangka pelan jangka masa panjang bagi mencapai hasrat tersebut dengan memastikan dua pertiga populasi penduduk menerima sekurang-kurangnya satu dos, Julai depan.
Bagaimanapun, rakyat Singapura masih perlu mengambil ujian calitan Covid-19 bagi tujuan melakukan perjalanan atau bekerja.
https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/06/singapura-mahu-anggap-covid-19-sebagai-virus-biasa/
Comments
Post a Comment