BANGKOK: Thailand mencatatkan 3,129 kes baharu COVID-19 dan 30 kematian dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan negara itu kepada 207,724 kes dan 1,555 korban, setakat ini.
Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Dr Apisamai Srirangsan, berkata daripada kes baharu itu, 3,106 ialah penularan tempatan termasuk 457 banduan, dan 23 kes import.
Kematian baharu membabitkan 18 lelaki dan 12 wanita berusia di antara 38 hingga 89 tahun, termasuk seorang warga Myanmar dan seorang rakyat Kuwait.
Menurut beliau, 22 kematian berlaku di Bangkok, tiga di Phetchaburi dan masing-masing satu di Samut Prakan, Samut Songkhram, Udon Thani, Sa Kaeo dan Narathiwat.
"Ada 83 kluster di Bangkok, setakat ini. Satu kluster baharu membabitkan 37 kes dikesan di daerah Bang Na di Bangkok," katanya semasa taklimat harian COVID-19, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Penyakit Berbahaya dan Kecemasan di Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Chawetsan Namwat, berkata 13 kematian dilaporkan di negara ini selepas menerima vaksin COVID-19, dengan lapan mengalami sindrom koronari akut.
"Terdapat 55 kes masih menunggu hasil siasatan dan autopsi lebih lanjut," katanya.
Hingga kini, sejumlah tujuh juta penduduk menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Sinovac atau AstraZeneca. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/06/828988/thailand-catat-30-lagi-kematian
Comments
Post a Comment