Total lockdown 28 hari yang sia-sia – Asyraf Wajdi

 

PETALING JAYA: Pemuda UMNO mempersoal jaminan kes jangkitan Covid-19 turun ke paras 4,000 sekiranya kilang-kilang penyumbang utama penularan terus dibenarkan beroperasi.

Malah, di samping itu, angka syarikat diluluskan untuk beroperasi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga bertambah saban hari.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya sebelum ini berkali-kali menegaskan jika sekatan penuh pergerakan (total lockdown) dibuat secara menyeluruh untuk tempoh 14 hingga 21 hari sebagaimana hayat inkubasi virus, maka ia perlu dibuat secara menyeluruh. 


Beliau berkata, rakyat rela berkurung jika total lockdown yang betul-betul dilakukan di samping kerajaan wajar menyalurkan salurkan bantuan.

“Kini dengan angka korban mencecah 4,944 nyawa, lebih 734,048 orang terjangkit, 32 juta rakyat Malaysia terseksa lebih enam bulan lamanya dan nilai ekonomi ratusan bilion ringgit lesap secara sia-sia. 

“Apakah kerajaan masih mahu ulangi dan guna pendekatan sama?” soal beliau dalam Facebooknya hari ini.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tidak akan ditamatkan esok sebaliknya fasa pertama Pelan Pemulihan Negara akan diteruskan sehingga jumlah jangkitan harian Covid-19 kurang daripada 4,000 kes.


Justeru  Asyraf Wajdi menegaskan, rakyat kini sekali lagi terpaksa berkurung untuk tempoh yang belum dapat dipastikan di bawah kaedah baharu, Pelan Pemulihan Negara yang bergantung kepada angka purata kes Covid-19 di bawah 4,000 kes selama tujuh hari berturut-turut. 

“Dengan kata lain kalau angka kes baharu masih di atas 4,000, maka rakyat mesti terus berkurung di rumah,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/total-lockdown-28-hari-yang-sia-sia-asyraf-wajdi/

 

Comments