Varian baharu lonjak kes COVID-19 di Moscow

 

MOSCOW: Kemunculan varian baharu COVID-19 disyaki punca lonjakan mendadak kes di ibu negara Russia ketika program vaksinasi berjalan dengan perlahan.

Datuk Bandar, Sergei Sobyanin, berkata kemungkinan besar varian baharu ini lebih agresif dan tersebar dengan lebih cepat.

Katanya, jangkitan harian di ibu negara meningkat dari 3,000 hingga 7,000 dalam beberapa hari dan dijangka meningkat lebih 9,000 pada hari ini.

"Angka ini tiga kali ganda meningkat dan ia belum pernah terjadi seperti gelombang sebelum ini," katanya

Sobyanin turut mengarahkan vaksinasi mandatori untuk penduduk Moscow yang bekerja di industri perkhidmatan berikutan peningkatan dramatik dalam jangkitan coronavirus.

Pegawai perubatan di hadapan hospital COVID-19 di Kommunarka, luar Moscow. - Foto AFP

Kira-kira 60 peratus daripada pekerja industri perkhidmatan di Moscow atau lebih dua juta orang diarahkan diberi vaksin sepenuhnya menjelang 15 Ogos termasuk pemandu teksi, kakitangan pusat kebudayaan dan pekerja restoran.

Sobyanin turut mengumumkan minggu ini adalah minggu 'tidak bekerja' di ibu negara bagi mengawal jangkitan virus.

Pegawai kesihatan Moscow dalam beberapa minggu lalu turut melaporkan peningkatan jumlah jangkitan baharu secara berterusan, mencerminkan trend di seluruh Russia.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Mikhail Murashko berkata, jumlah kes di Russia meningkat secara purata 30 peratus dalam beberapa minggu lalu dan mereka berusia 30 hingga 40 tahun antara yang terjejas.

Ketua pemantau kesihatan Rospotrebnadzor, Anna Popova berkata, varian India (Delta) jelas berkembang sejak dua minggu lalu.

Peningkatan angka jangkitan berlaku ketika pihak berkuasa berusaha menggalakkan penduduk mendapatkan vaksin walaupun kempen vaksin percuma dilakukan pada Disember lalu.

Hingga kini hanya 1.8 juta daripada 12 juta penduduk Moscow mendapatkan vaksin.

Menurut laman web Gogov, sejak Disember lalu, hanya 19 juta daripada 146 juta populasi keseluruhan negara itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Russia mengatasi Britain sebagai negara Eropah yang mencatatkan kematian tertinggi dengan 127,992 kes.

Walau bagaimanapun, agensi statistik Rosstat yang menggunakan definisi klinikal kematian berkaitan COVID-19, mengatakan sekurang-kurangnya 270,000 penduduk Russia meninggal dunia akibat coronavirus. - AFP

https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/06/829128/varian-baharu-lonjak-kes-covid-19-di-moscow

 

 

Comments