BRUSSELS: Belgium akan menyekat kemasukan pengembara bukan Kesatuan Eropah (EU) dari Britain bagi mengawal penyebaran varian COVID-19 yang memaksa London menangguhkan langkah melonggarkan sekatan bagi membendung pandemik.
Britain antara 27 negara yang dikenakan sekatan kemasukan ke Belgium berkuat kuasa selewat-lewatnya 27 Jun ini, kata jurucakap Menteri Kesihatan, Frank Vandenbroucke, Jan Eyckmans, semalam.
Ia berikutan kebimbangan Belgium terhadap varian Delta, pertama kali dikesan di India yang menyebabkan lonjakan kes COVID-19 di Britain, dan memaksa kerajaan Britain menangguhkan langkah menarik balik sekatan mulai esok.
Sekatan di Belgium turut membabitkan Afrika Selatan, India dan Brazil. Hanya warga EU atau penduduk Belgium dibenar memasuki negara ini.
Pengembara masih perlu mematuhi peraturan kuarantin ketat serta mengambil ujian COVID-19 sebelum bebas bergerak di Eropah.
Pengecualian untuk warga Britain atau pengembara bukan dari negara EU hanya diberikan kepada diplomat bagi urusan penting selain pekerja pengangkutan, menurut kerajaan.
Setakat ini varian Delta menyumbang 6.1 peratus jangkitan di Belgium, menurut data rasmi terkini, namun penyelidikan lain menunjukkan kadar sebenarnya lebih tinggi.
Eyckmans berkata kerajaan tidak mahu merisikokan usaha dilakukan penduduk Belgium ketika kadar vaksinasi negara itu menjadi yang terpantas di EU.
"Britain berada lima minggu ke depan daripada kami dalam vaksinasi dan mereka perlu menangguhkan rancangan untuk menarik balik sekatan.
"Namun ini adalah situasi sementara yang akan dinilai kembali secara berkala," kata Eyckmans.
Daripada 27 negara yang dilarang, hanya Britain dan Georgia menjadi negara Eropah yang berada dalam senarai Belgium.
Negara lain adalah Botswana, Republik Demokratik Kongo, Jordan, Qatar, Nepal, Bolivia, Paraguay, Chile, Trinidad dan Tobago, Colombia, Bangladesh, Uganda, Argentina, Zimbabwe, Eswatini, Lesotho, Namibia, Mozambik, Suriname, Peru dan Pakistan. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/06/829904/varian-delta-belgium-sekat-pengembara-dari-britain
Comments
Post a Comment