KUALA LUMPUR: Pembangkang mempersoal apa akan jadi kepada 65 klinik swasta di Selangor yang beroperasi sebagai Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) apabila Ordinan Darurat telah dibatalkan.
Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, perkara ini memerlukan penjelasan segera daripada kerajaan supaya isu seperti ini tidak tergantung.
“Penjelasan daripada pihak kerajaan amat penting sepatutnya diberikan serta-merta. Salah satu Ordinan Darurat adalah tentang kuasa yang telah diberi kepada kerajaan supaya boleh melantik klinik dan fasiliti perubatan swasta untuk menjadi CAC.
“Pelantikan ini berkuat kuasa 1 April sampai 1 Ogos 2021. Tapi sekarang Ordinan Darurat telah dibatalkan. Apa berlaku kepada pelantikan klinik swasta yang jadikan sebagai CAC ini?
“Apa berlaku kepada 65 klinik swasta ini? Kalau Ordinan Darurat dibatalkan, maksudnya mereka tidak boleh menggunakan kuasa mereka yang berpunca daripada Ordinan Darurat sebagai CAC,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Jelasnya, sebab itu, kerajaan perlu memberi penjelasan dengan segera dan tidak menunggu sehingga Isnin untuk menjawab segala persoalan yang ditimbulkan.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyudddin Hassan memaklumkan, kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan sejak 11 Januari lalu dan sepatutnya tamat pada 1 Ogos ini.
https://www.utusan.com.my/terkini/2021/07/apa-akan-jadi-pada-65-klinik-swasta-selangor-jika-ordinan-darruat-dibatalkan/
Comments
Post a Comment