Asia 'tidak mampu' perang di Laut China Selatan

 

MANILA: Asia perlu berusaha mengelakkan perang akibat perebutan kawasan di Laut China Selatan kerana ekonomi negara serantau akan terjejas teruk akibatnya.

Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana, menegaskan perang adalah sesuatu yang tidak 'mampu' dihadapi terutama dalam keadaan pandemik COVID-19 sekarang.

Beliau berkata demikian sempena lawatan rakan sejawatnya yang baharu dari Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin, ke Asia Tenggara, minggu depan.

Austin akan mengunjungi Filipina selepas melakukan lawatan ke Singapura dan Vietnam, iaitu lawatan pertama dilakukan pemimpin atasan dalam pentadbiran Presiden AS, Joe Biden.

Lorenzana dijangka membincangkan mengenai isu berkaitan Laut China Selatan dalam pertemuan di Manila pada 29 dan 30 Julai ini terutama mengenai ancaman China.

"Walaupun ada latihan intensif antara AS dan sekutunya di wilayah ini, saya tidak percaya ia adalah persediaan untuk berdepan peperangan di Laut China Selatan tetapi jika terpaksa, sebabnya perlu kukuh.

"Salah satu alasan mudah bagi menolak kemungkinan itu ialah kerana kawasan terbabit adalah laluan perdagangan laut antarabangsa terbesar di rantau ini.

"Menurut Bank Dunia, perdagangan lebih daripada AS$6 trilion (RM25 trilion) nilai barangan melalui kawasan perairan di Laut China Selatan setiap tahun," katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada ketegangan antara negara Asia Tenggara dengan China di laluan itu termasuk pertembungan antara armada Laut Filipina dan China baru-baru ini.

China menuntut sebahagian besar perairan di Laut China Selatan yang dipanggil Nine Dash Line atau Sembilan Garis Putus, yang turut dituntut oleh Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.

Terdahulu, Lorenzana berucap pada forum menjelang sambutan Negara Bangsa yang akan dirasmikan Presiden Filipin, Rodrigo Duterte, minggu depan.

Ia juga ucapan tahunan terakhir bagi ketua komander Filipina itu sebelum penggalnya berakhir tahun depan.

Manila dan Washington terikat melalui Perjanjian Pertahanan Bersama (MTD) sejak 70 tahun lalu yang menuntut kedua-dua pihak saling memberi bantuan ketenteraan jika ada antara mereka diancam serangan.

Lorenzana menjelaskan, terdapat ketetapan dalam MDT bahawa serangan yang dibuat kepada salah satu pihak dianggap serangan kepada pihak satu lagi.

"Filipina akan mematuhi perjanjian itu meskipun merangkumi pelbagai peringkat yang perlu melalui badan perundangan sebelum kita 'menyertai' sebarang konflik di Laut China Selatan," katanya.

Awal bulan ini, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, mengisytiharkan Washington akan merujuk kepada perjanjian bersama itu jika pesawat tentera atau kapal awam milik Filipina diserang di Laut China Selatan.

"Sekutu dan hubungan kuat adalah kunci untuk menyokong perintah berasaskan peraturan di Indo-Pasifik. Sebab itu saya melawat Singapura, Vietnam dan Filipina," katanya melalui Twitter.

Pada hari sama, Kementerian Luar China mengulangi penolakan keputusan Mahkamah Timbang Tara pada 2016 yang menafikan tuntutan negara itu di Laut China Selatan dan menyifatkannya penghakiman itu sebagai 'sampah'.

Filipina memiliki sembilan pulau dan kawasan di Laut China Selatan, yang terbesar ialah Pulau Pag-asa (Thitu), di mana pihak tentera membina landasan udara dan pelabuhan, yang turut menyaksikan tuntutan bertindih China.

Gambar fail menunjukkan penunjuk perasaan menyertai protes di hadapan pejabat konsular China di Filipina membantah pencerobohan negara itu di perairan Laut China Selatan. - Foto EPA

Sejak kebelakangan ini, Filipina semakin lantang membantah kehadiran dagangan dan aset ketenteraan China di perairan itu, malah turut menyaksikan beberapa pertembungan tegang di perairan dalam zon ekonomi eksklusif (EEZ).

Sebelum ini, AS mempunyai pangkalan tentera laut di Filipina iaitu di Subic Bay, yang menjadi dermaga memperbaiki kapal dan transit bagi armada tentera laut AS di Zambales, juga di Filipina tetapi ditutup pada 1992.

Ia adalah pangkalan tentera kedua terbesar AS di luar negara selepas Pangkalan Udara Clarks, juga di Filipina, yang ditutup pada 1991. - AGENSI


https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/07/843119/asia-tidak-mampu-perang-di-laut-china-selatan

 

 

Comments