Covid-19: Gejala stres, tertekan, ‘burnout’ meningkat

 

DUBAI: Ahli psikologi dan psikiatri di negara ini berpendapat terdapat peningkatan yang besar dalam hal masalah kesihatan mental di tengah-tengah penularan Covid-19.

Khaleej Times melaporkan, ini disebabkan ramai yang terpaksa ‘terperuk’ di rumah ekoran sekatan perjalanan dan pergerakan yang berkuat kuasa, ada pekerja yang berdepan pengurangan gaji selain ketidaktentuan nasib sesuatu pekerjaan.

Malah jelas mereka, masalah sama turut ‘menjangkiti’ kanak-kanak yang terpaksa belajar secara dalam talian dan ‘berjauhan’ dengan rakan-rakan sekelas.

Semua ini menurut mereka menyebabkan peningkatan dalam masalah kesihatan mental.

“Bilangan masalah kesihatan mental meningkat dan seperti ‘kebakaran hutan’ (pantas merebak). Faktor ketidakpastian daripada keseluruhan yang disebabkan pandemik inilah yang menjadi faktor pendorong,” kata Dr. Arun Kumar K, pakar psikiatri, Klinik Aster, Bur Dubai & Aster Hospital, Qusais.

Bagaimanapun Dr. Reena Thomas, seorang psikologi klinikal di Medeor Hospital dekat sini berkata, sebilangan besar daripada penduduk dunia menghadapi kebiasaan baharu dalam hampir semua aspek kehidupan.

Beliau mencadangkan langkah-langkah pemulihan untuk mengatasi kesan terhadap kesihatan mental.

“Daripada ‘berkabung’ atas masa-masa yang hilang, terimalah kenyataan dan kebiasaan baharu.

“Pandemik ini membuka mata untuk mengembangkan pelbagai kemahiran dan mencari peluang untuk bekerja sendiri dengan pelaburan yang terhad.

“Pada masa ini, kita boleh memilih masuk ke pekerjaan sementara, melabur dalam pengajian tinggi, dan bersiap untuk ketika ekonomi berkembang semula,” jelasnya.

Dr. Kumar pula bersuara mengatakan: “Kita harus proaktif dan bukannya reaktif”.

Sebagai individu katanya, kita harus mengambil cara proaktif dan bukannya reaktif untuk menguruskan kesihatan mental.


“Ini dapat dilakukan dengan menjalani gaya hidup yang sihat, memfokuskan pada kekuatan kita, mengurus kelemahan dan mengembangkan strategi yang sihat.

“Ini adalah perang untuk tidak menyerah, tetapi mendapatkan sumber daya yang baik untuk pertempuran kehidupan berikutnya,” katanya.


https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/07/covid-19-gejala-stres-tertekan-burnout-meningkat/

 

Comments