Hima diiktiraf Tapak Warisan Dunia UNESCO

 

NAJRAN: Hima menjadi tapak keenam di Arab Saudi yang diiktiraf dalam Senarai Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Terletak di barat daya Arab Saudi, Hima menempatkan kompleks seni batuan yang terbesar di dunia.

"Tapak baharu diiktiraf dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO: kawasan kebudayaan Hima, Arab Saudi. Mabrouk (tahniah)!" umum UNESCO, semalam.

Hima menempatkan lebih 34 tapak berasingan, termasuk batu bersurat dan telaga di sepanjang laluan karavan Arab pada zaman purba.

Agensi berita SPA melaporkan Menteri Budaya Arab Saudi, Putera Badr bin Abdullah bin Farhan Al Saud, mengalu-alukan penyenaraian itu.

"Negara ini kaya dengan warisan tamadun manusia. Usaha untuk menjadikannya terkenal di dunia sudahpun membuahkan hasil," katanya seperti dipetik media terbabit.

Menurut SPA, Hima menjadi laluan karavan perdagangan dan jemaah haji untuk pergi dan balik dari bahagian selatan Arab Saudi.

"Mereka yang melalui kawasan itu antara waktu pra dengan pascasejarah, telah meninggalkan pelbagai koleksi seni batuan.

"Ia antara lain menggambarkan simbol, tumbuhan, haiwan liar, memburu dan peralatan digunakan ketika itu, selain ribuan prasasti," katanya.

Foto ihsan Twitter UNESCO

Tapak berkenaan meliputi 557 kilometer persegi.

Menurut SPA lagi, telaga di tapak terbabit berusia lebih 3,000 tahun dan dianggap sebagai sumber bekalan air yang penting di kawasan gurun wilayah Najran.

Tapak lain di Arab Saudi yang sudah diiktiraf UNESCO termasuklah seni batuan di wilayah Hail dan Jeddah yang bersejarah. - AFP


https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/07/843059/hima-diiktiraf-tapak-warisan-dunia-unesco

 

 

Comments