Israel janji siasat dakwaan intipan Perancis

 

PARIS: Israel memberi jaminan kepada Perancis bahawa ia memandang serius dakwaan pengintipan oleh perisian Pegasus yang dibangunkan firma Israel NSO.

Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz, membuat komitmen itu kepada rakan sejawatnya dari Perancis, Florence Parly, bagi menyiasat dakwaan intipan terhadap

Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan pegawai kanan lain.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Israel, Gantz membicarakan masalah NSO ketika bertemu Parly, dengan menegaskan bahawa Israel memandang serius tuduhan itu.

Gantz berkata, Israel menyetujui eksport produk siber itu secara eksklusif kepada entiti kerajaan bagi penggunaan yang sah dan hanya untuk tujuan mencegah serta menyiasat jenayah atau melawan keganasan.

"Saya memaklumkan kepada Parly bahawa pegawai mengunjungi pejabat NSO hari ini dan Israel sedang menyiasat dakwaan berkenaan secara menyeluruh," katanya.

Parly memberitahu Gantz pihaknya mengharapkan penjelasan hari ini akan memperkukuhkan kembali kepercayaan dan pendirian saling menghormati antara kedua-dua negara.

Menurut sumber Kementerian Pertahanan Perancis, Parly inginkan penjelasan mengenai apa yang diketahui kerajaan Israel berhubung kegiatan pelanggan NSO dan aturan masa depan untuk mencegah perisian itu daripada diceroboh.

Pegasus boleh menghidupkan kamera atau mikrofon telefon serta mengambil datanya dan kekecohan timbul apabila senarai hampir 50,000 potensi sasaran pengawasan di seluruh dunia dibocorkan kepada kumpulan hak asasi manusia.

Pertahanan Israel menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji perniagaan NSO, termasuk proses ke mana lesen eksport diberikan.

Senarai sasaran Pegasus termasuk sekurang-kurangnya 600 ahli politik, 180 wartawan, 85 aktivis hak asasi manusia dan 65 pemimpin perniagaan.

NSO menegaskan perisiannya untuk digunakan hanya dalam memerangi keganasan serta jenayah lain dan ia mengeksport perisian itu ke 45 negara.

Akhbar Le Monde dan Radio France melaporkan, nombor telefon Macron serta nombor bekas perdana menteri, Edouard Philippe, selain 14 anggota kerajaan termasuk Menteri Luar Jean-Yves Le Drian, diintip.

Kesemuanya berada dalam senarai nombor dipilih oleh perkhidmatan keselamatan Maghribi, yang menggunakan Pegasus, berkemungkinan bagi tujuan menggodam.

"Sekiranya fakta ini disahkan ... kami akan mempertimbangkan semua akibatnya, tetapi pertama sekali ia mesti dibuktikan," kata jurucakap kerajaan Perancis, Gabriel Attal selepas mesyuarat Kabinet.

Sering dituduh membantu rejim diktator, NSO menegaskan perisian Pegasus hanya berfungsi secara teori untuk mendapatkan maklumat mengenai rangkaian penjenayah dan pengganas. - AFP

https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/07/844749/israel-janji-siasat-dakwaan-intipan-perancis

Comments