Kes anti-Yahudi di London meningkat ketika krisis Gaza

 

LONDON: Polis merekodkan kira-kira empat kali ganda lebih banyak kes anti-Yahudi di London sewaktu berlakunya krisis di Gaza pada Mei lalu berbanding tiga tahun lalu.

Polis Metropolitan London hari ini berkata sejumlah 87 kes anti-Yahudi iaitu 65 kali lebih tinggi daripada angka bulanan tertinggi sebelumnya direkodkan sejak pihaknya mula melaporkan data pada Mei 2018.

Permusuhan antara Israel dan pejuang Hamas mengakibatkan 253 rakyat Palestin maut dalam tempoh 11 hari bermula 10 Mei lalu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Sementara itu, serangan roket yang dilancarkan dari Gaza didakwa mengakibatkan kematian 12 rakyat Israel.

- Foto hiasan

Kekacauan turut berlaku di wilayah Palestin selain antara penduduk Yahudi dan Arab di Israel sewaktu konflik terbabit berlangsung sehingga mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh dunia.

Krisis itu berlarutan sehingga memberi kesan terhadap orang Yahudi di London, dengan perkataan 'Hitler' ditulis di siling sebuah blok pangsapuri dan batu dilemparkan ke rumah penduduk Yahudi.

Seorang penduduk di kawasan kejiranan Stamford Hill di utara London yang mempunyai komuniti Yahudi Hasidik mendakwa tayar lebih 30 kereta milik Yahudi ditoreh.

Sebuah badan amal yang melindungi penduduk Yahudi Britain, Community Security Trust, mendakwa 116 kes dilaporkan di seluruh Britain dalam tempoh 11 hari sejak 8 Mei lalu.

Pada bulan sama, polis bertindak menahan empat individu selepas meneliti rakaman yang memaparkan suspek sedang melaungkan kenyataan berbaur anti-Yahudi dari sebuah kereta.

Dua lelaki itu juga didakwa kerana ada kaitan dengan kes seorang rabbi atau paderi Yahudi dipukul di bahagian kepala dengan bata konkrit berhampiran sebuah rumah ibadat Yahudi.

Berikutan kejadian itu, Perdana Menteri, Boris Johnson, mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan anti-Yahudi yang dianggapnya sebagai melampaui batas sewaktu pertemuan dengan Ketua Rabbi Britain, Ephraim Mirvis.

Datuk Bandar London, Sadiq Khan, turut mengarahkan polis untuk meningkatkan kawalan di kawasan kejiranan yang diduduki orang Yahudi. - AFP

 

https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/07/844740/kes-anti-yahudi-di-london-meningkat-ketika-krisis-gaza

Comments