Kes COVID-19 Tokyo catat rekod tertinggi

 

TOKYO: Kes harian COVID-19 di bandar tuan rumah Sukan Olimpik Tokyo mencapai rekod tertinggi dua hari berturut-turut iaitu sebanyak 3,000 kes, buat pertama kali sejak wabak itu bermula.

Media tempatan melaporkan, lonjakan jangkitan itu memberikan tekanan kepada hospital dan merendahkan semangat domestik terhadap temasya yang berlangsung dalam keadaan yang belum pernah terjadi sebelum ini.

Antara yang paling memberi kesan ialah larangan penonton di kebanyakan lokasi kejohanan walaupun terdapat banyak potensi buruan pingat untuk atlet Jepun.

Ia juga menimbulkan masalah kepada Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga, di mana sokongan terhadapnya berada pada tahap terendah sejak memegang jawatan pada September lalu, menjelang pilihan raya umum tahun ini.

Menurut seorang menteri Kabinet, selepas kes harian mencatat 2,848 jangkitan pada kelmarin, gabenor tiga wilayah dekat Tokyo meminta kerajaan mengisytiharkan darurat di wilayah mereka.

Yasutoshi Nishimura, yang mengetuai pasukan tindak balas COVID-19 Jepun, memberitahu Parlimen bahawa wilayah berkenaan akan meminta kerajaan untuk mengumumkan darurat seawal hari ini.

Beliau berkata, kes harian dijangka meningkat lebih tinggi dalam beberapa hari mendatang kerana ujian mungkin tertangguh berikutan cuti minggu lalu.

Gabenor wilayah Kanagawa dekat Tokyo, Yuji Kuroiwa, berpendapat Tokyo akan memasuki fasa lonjakan kes.

Kanagawa dan wilayah Chiba serta Saitama yang berdekatan turut mencatatkan lonjakan kes jangkitan.

Tokyo berada dalam keadaan darurat keempat yang akan berkekalan sepanjang temasya Olimpik, sementara tiga wilayah lain melaksanakan langkah darurat yang lebih longgar.

Semalam, penganjur Olimpik Tokyo melaporkan 16 kes baru dikaitkan dengan temasya itu, meningkatkan jumlah jangkitan kepada 169 kes sejak 1 Julai.

Jurucakap Tokyo 2020, Masa Takaya, berkata atlet, kakitangan dan media Olimpik diminta mematuhi peraturan yang ketat bagi mencegah penyebaran virus, termasuk lebih kerap menjalani ujian.

Orang ramai berkumpul di dataran menempatkan Obor Olimpik di Tokyo, Jepun ketika negara itu melaporkan lonjakan tertinggi kes harian COVID-19. - Foto EPA

"Sebagai penduduk Tokyo dan penganjur, hati saya sakit kerana jumlah kes meningkat (di Tokyo) walaupun tindakan tegas sudah dilaksanakan dalam gelembung Olimpik," katanya.

Sementara itu, ribut tropika membawa hujan lebat menuju ke beberapa bahagian di utara Jepun semalam, menjauh wilayah Tokyo dan melegakan bandar tuan rumah yang sebelum ini khuatir akan mengganggu kejohanan. - AGENSI

https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/07/844795/kes-covid-19-tokyo-catat-rekod-tertinggi

 

Comments