NAPLES: Menteri alam sekitar dan tenaga kumpulan negara G-20 gagal capai kata sepakat terhadap komitmen menangani perubahan iklim serta pelepasan karbon.
Menteri Peralihan Ekologi Itali, Roberto Cingolani, berkata percanggahan pendapat itu membantutkan proses menyelaras kenyataan bersama berhubung komitmen terbabit.
Pertemuan G-20 itu dilihat sebagai pembuka tirai kepada rundingan perubahan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), juga dikenali sebagai COP26 yang dijadualkan berlangsung di Glasgow, Scotland dalam tempoh 100 hari lagi.
Kegagalan mencapai kesepakatan menjelang perhimpunan itu dilihat sebagai halangan besar dalam harapan untuk memeterai perjanjian bermakna di Scotland nanti.
Cingolani berkata, barisan menteri tidak sepakat berhubung pertikaian membabitkan dua perkara, yang kini perlu dibincangkan pada sidang kemuncak G-20 di Rome Oktober ini.
Itali kini memegang penggiliran jawatan presiden G-20 dan Cingolani, selaku pengerusi perhimpunan dua hari itu, mengakui rundingan dengan China, Russia dan India terbukti sangat sukar.
Katanya, China dan India menolak untuk menandatangani persetujuan bagi dua perkara yang dipertikaikan.
Salah satu ialah usul menghentikan sama sekali penggunaan kuasa arang batu, yang kebanyakan negara mahu ia dicapai menjelang 2025 tetapi dianggap mustahil bagi sesetengah negara melakukannya.
Satu lagi pertikaian ialah berhubung usul mengehadkan peningkatan pemanasan global yang ditetapkan antara 1.5 hingga dua darjah Celsius, seperti mana dipersetujui pada Perjanjian Paris 2015.
Cingolani berkata, purata suhu global kini sudah meningkat melebihi satu darjah Celsius berbanding garis dasar pra-industri digunakan saintis dan kini diramal akan melebihi had 1.5 hingga dua darjah Celsius yang mahu ditetapkan.
"Beberapa negara bagaimanapun mahu mempercepatkan pencapaian had dipersetujui pada Perjanjian Paris, yang mahu menurunkan suhu sehingga 1.5 darjah Celsius dalam satu dekad.
"Namun, negara lain yang ekonominya masih bergantung kepada bahan api karbon dan fosil mahu berpegang kepada apa yang dipersetujui di Paris," katanya.
Tambah beliau, G-20 tidak membuat sebarang komitmen kewangan baharu tetapi memaklumkan Itali akan meningkatkan pembiayaan dana perubahan iklim bagi negara kurang membangun secara berterusan sehingga 2025.
Walaupun terdapat dua isu dipertikaikan, Cingolani berkata G-20 masih dapat menyediakan kenyataan bersama merangkumi 58 perkara, yang dipersetujui semua negara bahawa penghapusan karbon adalah adalah matlamat yang perlu dicapai.
Dokumen awal yang dikeluarkan pejabat presiden Itali itu menggunakan banyak ungkapan seperti 'memerangi perubahan iklim', 'tenaga bersih' dan 'pembiayaan iklim', 'penyelidikan dan pembangunan' serta 'bandar pintar'.
Ia turut merujuk perjanjian pada 2009 bahawa menjelang 2020, negara maju harus secara bersama menyumbang AS$100 bilion (RM422 bilion) setiap tahun untuk dana perubahan iklim bagi negara miskin.
Menurut dokumen itu, selain terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, negara miskin kini berdepan ancaman perubahan iklim, bencana alam, dan peningkatan paras laut, sekali gus menjadikan usaha menanganinya hampir mustahil. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/07/842827/menteri-g-20-tiada-kesepakatan-dalam-isu-perubahan-iklim
Comments
Post a Comment