Mumia Chinchorro disenaraikan warisan dunia UNESCO

 

LONDON: Mumia Chinchorro di utara Chile yang merupakan mumia tertua di dunia yang diawet oleh manusia, disenaraikan sebagai warisan dunia dalam Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Lapor Daily Mail, mumia yang ditemukan pada awal abad ke-20 itu dipercayai berusia lebih 7,000 tahun.

UNESCO mengumumkan perkara itu pada sesi Jawatankuasa Warisan Dunia ke-44 yang berlangsung secara maya dari Fuzhou di China.

“UNESCO sedang mendapatkan pengesahan di peringkat antarabangsa menerusi beberapa pakar mengenai penempatan dan pengawetan mumia mengikut budaya Chinchorro mempunyai nilai luar biasa dan kepentingan global,” kata ahli antropologi, Bernard Arriaza kepada AFP.

UNESCO menerusi kenyataan memaklumkan tiga lokasi berkaitan pengawetan mumia Chinchorro telah ditambah dalam senarai tersebut.

Lokasi itu merupakan Faldeo Norte del Morro de Arica dan Colón 10 yang terletak di Arica serta Desembocadura de Camarones, sebuah perkampungan yang terletak kira-kira 96 kilometer ke selatan Chile.


“Ia merupakan bukti arkeologi tertua di dunia yang menunjukkan mengenai pengawetan mayat oleh manusia dan juga keadaan persekitaran,” jelas UNESCO.

Mayat-mayat yang diawetkan antaranya memiliki ciri material, ukiran dan estetik yang mencerminkan peranan asas si mati dalam masyarakat Chinchorro. – AGENSI       

https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/07/mumia-chinchorro-disenaraikan-warisan-dunia-unesco/

 

Comments