Presiden China melawat Tibet

 

BEIJING: Presiden China, Xi Jinping hari ini dilaporkan mengunjungi Tibet, iaitu wilayah sensitif dari segi politik, lapor media negara itu.

Ini menjadi lawatan pertama pemimpin tertinggi negara itu, sejak lebih daripada tiga dekad.

Presiden China, Xi Jinping melambai kepada penonton. - Foto EPA

Tibet yang bersilih ganti sejak berabad-abad di antara bebas dan dikuasai China, yang boleh dikatakan 'bebas secara damai' daripada sebuah dataran tinggi pada 1951 membangun dengan infrastruktur dan pendidikan ke wilayah yang sebelum ini jauh ketinggalan.

Bagaimanapun, ramai penduduk Tibet dibuang negeri, berikutan dituduh kerajaan pusat melakukan penindasan agama dan menghakis budaya mereka.

Pada 2008, berlaku rusuhan di wilayah terbabit yang mengorbankan ramai, susulan penduduk membantah terhakisnya budaya kuno, disebabkan perkembangan pesat oleh China.

Dalam rakaman yang disiarkan hari ini oleh stesen penyiar negara, CCTV, Xi dilihat melambai kepada orang ramai yang memakai pakaian etnik dan mengibarkan bendera China, ketika beliau meninggalkan pesawatnya, dalam sambutan meriah permaidani merah dan persembahan tarian.

Walaupun beliau tiba kelmarin di Lapangan Terbang Nyingchi Mainling di tenggara Tibet, tiada pengumuman lawatannya di media rasmi sehingga dua hari kemudian.

Selepas sambutan hangat oleh kebanyakan etnik, Xi dilaporkan ke Jambatan Sungai Nyang untuk mengetahui tentang penjagaan ekologi dan persekitaran Sungai Yarlung Tsangpo dan Sungai Nyang, lapor stesen penyiar, CCTV.

Xi sebelum ini pernah mengunjungi Tibet dua kali, iaitu pada 1998 sebagai ketua parti wilayah Fujian dan berikutnya, pada 2011 sebagai Naib Presiden.

Presiden China yang terakhir mengunjungi Tibet ialah Jiang Zemin pada 1990.

Kali ini, Xi turut mengunjungi Muzium Perancangan Bandar Nyingchi dan kawasan lain untuk meneliti perancangan pembangunan bandar, baik-pulih luar bandar dan pembinaan taman bandar.

Semalam, beliau melawat Stesen Kereta Api Nyingchi untuk taklimat mengenai Kereta Api Sichuan-Tibet, sebelum menaiki keretapi ke Lhasa.

Beijing memberi pembangunan sebagai penawar tidak puas hati penduduk di Tibet, wilayah yang masih ramai mengagumi Dalai Lama, pemimpin agama yang dibuang negeri dan membenci kedatangan peneroka China.

Sejak 2008, China melabur ke rantau terbabit, menjadikan Tibet sebagai satu wilayah dengan pertumbuhan paling pesat di China secara ekonomi, menurut statistik tempatan. - AFP


https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/07/842295/presiden-china-melawat-tibet

 

Comments