RIO DE JANEIRO: Puluhan ribu rakyat Brazil turun ke jalanan, semalam, bagi menuntut pemecatan Presiden Jair Bolsonaro yang kini berdepan peningkatan tekanan susulan angka korban COVID-29 semakin meruncing.
Ia adalah tunjuk perasaan hujung minggu yang keempat anjuran parti politik berhaluan kiri, kesatuan buruh dan kumpulan sosial terhadap Bolsonaro.
Bolsonaro sedang disiasat kerana dituduh bersikap 'tutup mata' terhadap dakwaan skim menggelapkan dana kerajaan dalam pembelian vaksin COVID-19.
Tunjuk perasaan berkenaan dirancang diadakan di 400 bandar.
Di Rio de Janeiro, ribuan orang menyertai tunjuk perasaan dengan membawa sepanduk tertera pelbagai slogan membidas pemimpin itu.
Penganjur mendakwa, tunjuk perasaan terbabit bertujuan 'mempertahankan demokrasi, kehidupan rakyat Brazil serta menamatkan pentadbiran Bolsonaro.'
Penunjuk perasaan mengadu mengenai kelewatan pelaksanaan program vaksinasi dan kadar pengangguran yang tinggi di Brazil, sekali gus mendesak supaya lebih banyak bantuan kecemasan diberi kepada penduduk miskin yang bergelut dengan kesan pandemik itu. - AFP
https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2021/07/843021/puluhan-ribu-tunjuk-perasaan-desak-pecat-presiden-brazil
Comments
Post a Comment