Separuh penduduk Eropah divaksin

 

BRUSSELS: Lebih separuh daripada penduduk dewasa Eropah sudah diberi vaksin penuh, kata Kesatuan Eropah (EU), pada Khamis.

Pencapaian itu dicapai ketika negara di seluruh Eropah dan Asia bertarung dengan penularan virus yang dikatakan akibat varian Delta yang menjangkiti dengan cepat.

Bank Pusat Eropah berkata, ketidaktentuan mengenai gelombang jangkitan bermakna ia terus membuka aliran tunai untuk memastikan pemulihan ekonomi yang baru dilancarkan, tidak sia-sia.

Canselor Jerman, Angela Merkel berkata, jangkitan di negaranya meningkat dengan pesat, sementara Sukan Olimpik Jepun yang tertangguh sebelum ini, bakal dibuka dengan hampir tiada penonton dan berlangsung dengan peraturan ketat COVID-19.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang sekali lagi meminta audit makmal China berkenaan asal usul wabak berkenaan, mengundang kemarahan Beijing.

Lebih daripada empat juta orang menjadi korban akibat virus terbabit sejak Disember 2019, biarpun meskipun kadar vaksinasi meningkat di seluruh dunia, susulan penularan varian Delta meledakkan peningkatan jangkitan dan mendorong kerajaan kembali menguat kuasa langkah-langkah anti-virus.

Semalam, EU menyatakan kira-kira 200 juta warga Eropah sudah menerima vaksinasi penuh, iaitu lebih daripada separuh populasi dewasanya, namun tidak mencapai 70 peratus sasaran yang ditetapkan untuk musim panas ini.

Penduduk berehat di tepi pantai Walton-on-the-Naze, tenggara England. - AFP

Dengan data terbaharu, Merkel mendesak supaya lebih ramai rakyat negaranya diberikan vaksin segera, sambil menyuarakan supaya berwaspada dengan lonjakan baharu di Jerman.

"Kita melihat pertumbuhan yang sangat pesat. Dengan vaksinasi, ia langkah kecil untuk kembali ke keadaan normal," katanya pada sidang media di Berlin.

Jerman menyaksikan kadar jangkitan 12.2 kes baru bagi setiap 100,000 orang dalam tempoh tujuh hari yang lalu yang memperlihat lebih daripada dua kali ganda pada awal Julai.

"Dengan meningkatnya angka jangkitan, kita harus memperkenal langkah-langkah tambahan," katanya. - AFP

https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/07/842233/separuh-penduduk-eropah-divaksin

 

 

Comments