SINGAPURA: Republik ini akan kembali kepada Fasa Dua (Amaran Tinggi) bagi menangani lonjakan kes tempatan COVID-19, berkuat kuasa esok hingga 18 Ogos depan.
Susulan itu, orang ramai antara lain tidak akan dibenarkan untuk makan di dalam kedai, manakala saiz perhimpunan sosial dihadkan semula kepada dua individu saja, lapor Channel News Asia.
Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura memaklumkan, penguatkuasaan itu sekali gus menggantikan langkah yang diumumkan pada Isnin lalu.
Katanya, kerajaan akan membuat semakan semula dalam tempoh dua minggu dan melakukan pelarasan berdasarkan keadaan semasa.
Pasukan petugas COVID-19 yang membabitkan pelbagai kementerian, memutuskan golongan sudah menerima vaksinasi lengkap akan turut tertakluk kepada penguatkuasaan sama.
Bagaimanapun, Pengerusi Bersama pasukan itu, Gan Kim Yong, berkata pertimbangan berhubung perkara itu akan dibuat apabila kadar vaksinasi meningkat atau keadaan telah stabil.
"Kami tahu berita ini amat mengecewakan ramai orang, terutama perniagaan dalam sektor seperti makanan dan minuman.
"Sektor ini terjejas teruk susulan pelaksanaan sekatan terdahulu, dan mereka telah bekerja sangat keras untuk menyesuaikan diri dengan perubahan peraturan," katanya yang juga Menteri Perdagangan dan Industri, pada sidang media, semalam.
MOH dalam satu kenyataan mengingatkan orang ramai supaya terus membataskan perhimpunan sosial mereka kepada tidak melebihi dua dalam sehari.
Semua pengusaha makanan dan minuman, termasuk di pusat penjaja serta medan selera, hanya dibenarkan untuk menjual secara bungkus atau penghantaran, bermula esok.
Pengerusi Bersama pasukan petugas itu, Lawrence Wong pula menjelaskan, penetapan untuk kembali kepada Fasa Dua (Amaran Tinggi) adalah 'keputusan yang amat sukar' dan dibuat selepas dipertimbangkan sedalam-dalamnya.
"Namun berdasarkan penilaian terhadap perkembangan kes dengan banyak kluster dikesan dan kemungkinan ia menular dalam komuniti, kami membuat keputusan untuk mengambil tindakan sebagai usaha memperlahankan jangkitan.
"Mesej umum kepada seluruh masyarakat bawah Fasa Dua (Amaran Tinggi) ialah tolong duduk di rumah dan minimumkan pergerakan serta interaksi sosial dengan seboleh mungkin," katanya yang juga Menteri Kewangan. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/07/841634/singapura-kuat-kuasa-semula-fasa-2-amaran-tinggi-mulai-esok
Comments
Post a Comment