KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memikirkan persiapan memberi suntikan 'booster' atau penggalak vaksin COVID-19 berikutan kemungkinan virus itu mengalami mutasi dan kemunculan varian baharu berdasarkan perkembangan jangkitan di seluruh dunia.
Pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata persediaan itu penting melihatkan kepada pertambahan kes jangkitan COVID-19 di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) serta negara jiran seperti di Thailand dan Indonesia.
Katanya, negara berkenaan juga kini bercadang memperkenalkan suntikan booster walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan masih terlalu awal untuk berbuat demikian.
"Justeru, Malaysia perlu memikirkan persediaan ke arah suntikan penggalak ini dan sebagai tambahan memikirkan penghasilan vaksinnya.
"Malaysia sendiri masih tidak melaksanakan kajian penjujukan genom yang menyeluruh, hanya dilakukan dalam skala kecil, jadi kita masih tidak tahu virus COVID-19 jenis mana yang menular dengan meluas di negara ini.
"Kita juga tiada data lengkap mengenai sistem tindak balas vaksin yang sudah diberikan kepada rakyat.
"Sudah sampai masanya kerajaan menyalurkan dana kepada penyelidikan tempatan seperti UM yang ada pusat kajian penyakit berjangkit untuk membuat penyelidikan seumpama ini," katanya kepada BH.
Sazaly yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), berkata pada masa ini, semua maklumat mengenai virus dan vaksinasi bergantung data luar negara sedangkan situasi dan cara jangkitan mungkin berbeza.
"Perlu difahami genetik Malaysia ini berbeza dengan negara luar dan cara tindak balas terhadap vaksin ini sudah tentu berbeza, maka kita perlukan data kita sendiri," katanya.
Pada masa sama, beliau menekankan keperluan mempercepatkan pemberian vaksin kepada mereka yang berusia 50 tahun ke atas yang perlu diselesaikan sebelum Oktober ini.
"Selain memikirkan suntikan penggalak, kerajaan perlu fokus kepada program vaksinasi untuk 70 peratus populasi dan ia perlu diselesaikan secepat mungkin," katanya.
Sementara itu, pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, berkata kemungkinan keperluan booster ini sangat tinggi berdasarkan jangkitan baharu varian COVID-19.
Katanya, pada masa ini, kebanyakan negara yang mengalami gelombang jangkitan dilaporkan berdepan varian Delta dan Lambda.
"Perlu fahami kebanyakan vaksin dibangunkan berasaskan varian Wuhan, jadi apabila berlaku mutasi pada protein pepaku, ia akan memberi kesan kepada antibodi yang dihasilkan.
"Antibodi dihasilkan daripada vaksin terdahulu berinteraksi dengan varian baharu seperti Delta dan Lambda akan berlaku kekurangan sedikit.
"Bukan tidak berkesan, ia masih bertindak balas dengan baik, namun ada pengurangan antara interaksinya dengan penerima vaksin. Apabila berlaku penurunan ia menjejaskan keberkesanan," katanya.
Justeru, katanya, itu sebab pengeluar vaksin dan negara yang mengalami jangkitan gelombang ketiga dan keempat berasakan perkara itu perlu dilihat dengan kemungkinan keperluan kepada suntikan booster ini.
"Apabila sudah berlaku penurunan interaksi, maka kita memikirkan perlu mendapat perlindungan terbaik dan optimum melalui suntikan booster ini untuk meningkatkan semula tahap perlindungan itu," katanya.
Mengulas lanjut, Yahya berkata, suntikan booster ini juga diperlukan selepas mengambil kira jangkitan yang berlaku.
Katanya, seperti jangkitan varian baharu Delta, ia dilihat kini semakin dominan di kebanyakan negara termasuk Malaysia.
"Kita tahu apabila varian bermutasi atau berubah sedikit, ia akan memberi kesan pada keberkesanan vaksin sedia ada, jadi memang perlu melihat kemungkinan kepada keperluan suntikan booster ini," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/841709/suntikan-booster-mampu-pertingkat-imunisasi-covid-19
Comments
Post a Comment