BATU KAWAN: Tekanan ekonomi akibat pandemik Covid-19 dan masalah dalam perhubungan cinta merupakan antara punca kejadian bunuh diri di negeri ini.
Kedua-dua isu membabitkan kesihatan mental itu turut menyumbang kepada peningkatan lebih sekali ganda kes bunuh diri yang diselesaikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang dalam tempoh kira-kira tujuh bulan tahun ini berbanding tahun lalu.
Pengarah JBPM negeri, Saadon Mokhtar berkata, sebanyak 25 kes bunuh diri direkodkan pihaknya tahun ini setakat semalam berbanding hanya 11 kes sehingga Julai tahun lalu.
Angka itu jelasnya, merupakan peningkatan yang ketara iaitu sebanyak 14 kes malah telah melebihi keseluruhan kes sepanjang tahun lalu iaitu 21 kes.
“Saya percaya, perkara itu didorong oleh isu mental membabitkan masalah seperti keadaan ekonomi semasa pandemik dan putus cinta yang dialami mangsa,” katanya.
Beliau ditemui pemberita dalam sidang akhbar Pelancaran e-Poster Kolaborasi JBPM Pulau Pinang dengan Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam (CCPSS) Pulau Pinang yang turut dihadiri pengerusi CCPSS, Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah.
Menurut Saadon, peningkatan kes bunuh diri itu juga mendorong pihaknya menjalin kerjasama dengan CCPSS bagi membantu mangsa yang kemurungan dalam menangani kes berkenaan.
Menerusi inisiatif itu jelas beliau, pihaknya menggunakan kaedah memberi khidmat nasihat dan mendengar masalah memandangkan kebanyakan mangsa kemurungan memerlukan seseorang untuk meluahkan perasaan.
“Kita mewujudkan unit kaunseling bersama CCPSS yang disertai pakar-pakar (kaunselor) untuk memberi nasihat dan menyelesaikan masalah dihadapi mangsa,” katanya.
Dalam pada itu Mohamad Anil Shah menambah, kerjasama tersebut bertujuan menyediakan perantaraan di antara mangsa dan ahli keluarga dengan agensi kerajaan dan sebagai intervensi awal dalam membantu mangsa.
Katanya, individu di negeri ini yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian JBPM negeri di talian 04-5047 222 atau CCPSS di talian 016-411 7171 bagi mendapatkan sokongan dan khidmat nasihat.
https://www.utusan.com.my/terkini/2021/07/tekanan-ekonomi-akibat-covid-19-antara-punca-kes-bunuh-diri-meningkat/
Comments
Post a Comment