Umat Islam dinasihat teliti sebelum beli makanan dalam talian

 

SEREMBAN: Umat Islam di negeri ini dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dan teliti dalam urusan pembelian makanan terutamanya menerusi aplikasi penghantaran dalam talian.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, langkah itu bagi mengelakkan daripada mereka membeli makanan yang diragui status halal termasuk status pengendali makanan tersebut.

“Pembeli khususnya umat Islam kena tahu dari kedai mana mereka membeli, mungkin kadangkala kita tidak teliti dalam perkara itu. Kalau kita sudah terbeli tidak mengapa, tetapi kalau kita sudah tahu kita tidak boleh membeli mengambil dan membeli lagi di situ.

“Jika ada keraguan kita kena tinggalkan, tinggalkan benda yang meragukan dan kita pergi ke perkara yang tidak meragukan,” katanya hari ini.

Beliau mengulas hantaran tular di Facebook seorang penghantar makanan yang memaklumkan mengambil makanan daripada penjual bukan Islam yang diragui status halalnya dan kemudian menghantar makanan itu kepada seorang pembeli yang merupakan seorang Islam.

Penghantar makanan tersebut menambah, penjual makanan itu beroperasi di sebuah rumah dekat sini.


Jelasnya, dia telah memaklumkan perkara tersebut kepada pelanggan berkenaan dan pelanggan itu kemudian telah membuang makanan itu.

Sementara itu, Mohd. Yusof menambah, pihak berkuasa perlu menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat unsur penipuan dilakukan oleh pihak peniaga tersebut.


“Kalau ramai yang memaklumkan perkara ini, pihak berkuasa kena ambil tindakan, jika ada penipuan, pihak berkuasa mesti ambil tindakan kepada pihak tersebut, tidak boleh dibiarkan sahaja.

“Kena beritahu kepada orang ramai, ada perkara sebegini berlaku dan mengingatkan orang ramai, khususnya orang Islam supaya menjauhkan diri daripada perkara-perkara begitu,” katanya.

https://www.utusan.com.my/berita/2021/07/umat-islam-dinasihat-teliti-sebelum-beli-makanan-dalam-talian/

Comments