Wilayah Henan sekali lagi dilanda banjir, 30,000 penduduk berpindah

 

ZHENGZHOU: Hampir 30,000 penduduk di Xinxiang dipindahkan menggunakan jambatan sementara selepas banjir sekali lagi melanda wilayah Henan semalam.

Setakat ini, lebih 9,000 penduduk sudah dipindahkan dan 19,000 lagi menunggu untuk dibawa keluar dari kawasan penempatan masing-masing ketika paras banjir terus meningkat.

Terdahulu, sekurang-kurangnya 33 maut apabila banjir besar melanda bandar Zhengzhou, menyaksikan stesen tren bawah tanah dan jalan utama dinaiki air sehingga paras leher.

Ketika pasukan keselamatan sibuk membersihkan bandar ini daripada sisa banjir, hujan lebat sekali lagi turun dan mencetuskan banjir di Xinxiang serta kawasan sekitarnya.

Beberapa video yang dikongsi orang ramai dalam media sosial menunjukkan ratusan penduduk melalui jambatan sementara yang dibina untuk proses pemindahan.

Selain itu, banyak kediaman dan kenderaan penduduk musnah akibat banjir yang berlaku.

Jabatan meteorologi menyatakan Taufan In Fa diramalkan membadai timur China Ahad ini dengan membawa angin kencang dan hujan lebat. – AFP

https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/07/wilayah-henan-sekali-lagi-dilanda-banjir-30000-penduduk-berpindah/

Comments