21 petugas kesihatan Hospital Sultan Aminah Johor Bahru positif

 

JOHOR BAHRU: Satu kluster Covid-19 telah dikesan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini membabitkan seramai 21 orang petugas kesihatan. 

Pengarah HSA, Dr. Mohtar Pungut berkata, Kluster Jalan Persiaran Abu Bakar Sultan itu dikesan hasil aktiviti saringan termasuk pengesanan kontak dijalankan susulan daripada pengumuman yang dibuat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah semalam.

Katanya, pengurusan HSA Johor Bahru telah bertindak segera untuk mengawal serta mengekang penularan jangkitan Covid-19 di fasiliti tersebut. 

“Langkah-langkah kawalan tersebut adalah merangkumi mengenal pasti kontak rapat di tempat kerja, rumah dan sosial serta melakukan saringan calitan tekak terhadap kontak rapat di tempat kerja, rumah termasuk sosial.

“Langkah susulan yang diambil juga melibatkan tindakan merawat, pemantauan dan kuarantin dijalankan mengikut kategori pesakit dan kontak.

“Kerja-kerja sanitasi dan nyahkuman juga telah dilakukan di semua lokasi yang terlibat dan pengoperasian Jabatan Kecemasan dan Trauma tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Dr. Mohtar memberitahu, Unit Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan Persekitaran akan memantau tahap kesihatan semua petugas terlibat termasuk amalan kawalan infeksi diperketatkan dan dipantau oleh Unit Kawalan Infeksi dalam kalangan kakitangan dan petugas kesihatan.

Tambahnya, pengurusan hospital juga menyeru orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan norma baharu yang telah ditetapkan di mana sahaja mereka berada walaupun telah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. – UTUSAN

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/08/21-petugas-kesihatan-hsa-positif/

Comments