ISKANDAR PUTERI: Seramai 779 guru di negeri ini menolak untuk menerima vaksin COVID-19, kata Pengerusi Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang.
Susulan itu, beliau berkata Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan kepada kumpulan guru terbabit mengenai kebaikan vaksin supaya mereka sedia menerima suntikan.
"Kerajaan Johor akan memanggil lebih 700 guru yang menolak vaksin itu secara individu bagi diberi penerangan dan kaunseling supaya mereka faham kepentingannya apatah lagi sesi persekolahan dijangka dibuka Oktober nanti.
"Sehingga 19 Ogos lalu, seramai 45,448 atau 96.26 peratus guru di Johor sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19. Seramai 23,746 guru sudah lengkap kedua-dua dos suntikan vaksin.
Bagi anggota kumpulan pelaksana (AKP) pula, seramai 6,539 atau 91.43 peratus sudah menerima dos pertama dan seramai 2,816 pula atau 39.37 peratus sudah lengkap kedua-dua dos.
"Bagi staf sokongan operasi pula, seramai 9,236 atau 71.49 peratus sudah menerima dos pertama dan seramai 7,030 atau 54.42 peratus lagi sudah lengkap kedua-dua dos suntikan vaksin," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nor Hayati Bachok (AMANAH- Maharani) berkenaan kadar vaksinasi guru di negeri ini, pada Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14, hari ini.
Sementara itu, Mazlan berkata, JPNJ menyokong penuh kerjasama antara kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bagi memastikan program vaksinasi mencapai 100 peratus.
Katanya, kerjasama itu membabitkan warga sekolah serta ibu bapa dan penjaga ketika pembukaan sesi persekolahan nanti.
"Merujuk kenyataan media Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 15 Ogos 2021, sesi pembukaan sekolah secara berperingkat akan bermula pada 3 Oktober.
"Pemakluman awal akan dibuat sekiranya terdapat keperluan perubahan tarikh hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/854429/779-guru-di-johor-enggan-divaksin
Comments
Post a Comment