Angka korban gempa bumi Haiti meningkat kepada 1,941 orang

 

LES CAYES: Angka kematian akibat gempa bumi berukuran 7.2 magnitud melanda Haiti dilaporkan meningkat kepada 1,941 orang.

Perkara itu dimaklumkan oleh Agensi Perlindungan Awam Caribbean.

Lebih 9,900 orang mengalami kecederaan ketika gempa bumi melanda bahagian barat daya negara Caribbean Sabtu lalu, kira-kira 160 kilometer sebelah barat bandar Port-au-Prince.

Dilaporkan, lebih 60,000 kediaman musnah dan 76,000 mengalami kerosakan.

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), lebih setengah juta kanak-kanak terjejas akibat bencana itu.

Penduduk di Les Cayes mula membina tempat perlindungan sementara di padang bola meskipun terpaksa berdepan hujan lebat dan angin kencang ketika ribut tropika Grace merentasi negara tersebut.

Sementara itu, hujan lebat yang disebabkan oleh ribut tropika Grace menyukarkan lagi keadaan di Haiti.


Pusat Taufan Nasional (NHS) Amerika Syarikat (AS) memberi amaran mengenai kemungkinan banjir, banjir kilat dan tanah runtuh berlaku ketika ribut Grace melanda Haiti dengan taburan hujan maksimum sehingga 380 milimeter (mm).

Pihak berkuasa Haiti turut memaklumkan kepada penduduk untuk berhati-hati dengan bangunan yang retak akibat gempa bumi kerana boleh runtuh di bawah tekanan air banjir. – AFP

https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/08/angka-korban-gempa-bumi-haiti-meningkat-kepada-1941-orang/

 

Comments