TASIK URMIA, Iran: Kelihatan beberapa feri yang sebelum ini digunakan untuk membawa para pelancong menyelusuri Tasik Urmia kini tersekat dalam pasir dan berkarat dimamah usia selepas hampir separuh daripada kawasan tasik itu sudah mengering.
Dua dekad lalu, Urmia merupakan tasik air masin terbesar di Asia Barat dan menjadi daya tarikan pelancong dari seluruh dunia.
“Orang ramai akan datang ke tasik ini untuk berenang dan berkelah selama beberapa hari. Namun kini, semuanya tinggal kenangan kerana Urmia sudah ‘tiada’,” kata Ahad Ahmed yang merupakan seorang wartawan tempatan.
Menurut Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Azerbaijan Barat, kadar penyusutan air di tasik Urmia berlaku dengan cepat apabila hanya separuh daripada 5,200 kilometer persegi kawasan keseluruhan tasik itu yang masih mempunyai air.
Musim kemarau, gelombang haba dan pengurusan sistem pengairan yang salah menjadi antara penyumbang kepada banyak sungai dan tasik di Asia Barat semakin mengering.
Beberapa negara termasuk Iran, Iraq dan Jordan kini bekerja keras untuk mengepam sumber air bawah tanah bagi keperluan harian penduduk ketika jumlah penurunan hujan semakin merosot.
“Penduduk di semua negara tersebut menggunakan air melebihi kadar hujan yang turun, sekali gus menyebabkan banyak sungai, tasik dan paya terus mengering,” kata Pengarah Global Institut Sumber Dunia (WRI), Charles Iceland kepada CNN.
Katanya, kadar kebergantungan air yang tinggi boleh menyebabkan sesebuah kawasan menjadi tidak berpenghuni, timbul ketegangan mengenai kaedah pengurusan air dan keganasan politik.
Di Iran, sebahagian besar Urmia menyusut kerana begitu banyak pihak yang melakukan eksploitasi dan beberapa empangan yang dibina di bahagian lembangan untuk pengairan secara tidak langsung mengurangkan aliran air ke tasik tersebut.
Kajian yang dilakukan oleh Kementerian Tenaga Iran mendapati, punca utama penyusutan air di tasik tersebut adalah disebabkan oleh perubahan iklim.
Jordan paling teruk
Jordan merupakan satu daripada negara paling teruk terjejas akibat kekurangan bekalan air di dunia sehinggakan penduduknya ‘sudah terbiasa’ hidup tanpa air mencukupi.
Satu kajian yang diterbitkan dalam Prosiding Akademi Sains Nasional menunjukkan rakyat Jordan perlu mengurangkan separuh daripada penggunaan air per kapita menjelang akhir abad ini.
Di kebanyakan rumah di Jordan, air tidak semestinya ada setiap hari, malah penduduk hanya menerima bekalan sekali atau dua kali seminggu.
https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/08/asia-barat-alami-krisis-bekalan-air-terburuk/
Comments
Post a Comment