BEJING: China sangat mementingkan hubungan jangka panjang dengan Iraq dan bersedia menjalinkan kerjasama strategik bagi melaksanakan pembangunan yang lebih besar.
Harapan itu dizahirkan oleh Presiden China, Xi Jinping menerusi perbualan telefon dengan Presiden Iraq, Barham Salih yang menjelaskan negara itu memberi sokongan penuh terhadap usaha Iraq melawan pandemik Covid-19, memperluas kerjasama dua hala dalam bidang tenaga, eletrik dan pengangkutan.
Katanya, China turut menzahirkan komitmen membantu Iraq dalam aspek pembangunan semula ekonomi dan pembangunan sosial.
Xi memberitahu, Iraq adalah antara negara Arab pertama yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China serta merupakan rakan penting negara untuk kerjasama ‘Belt and Road’ di Asia Barat dan Afrika Utara.
“Sebagai rakan negara yang ikhlas terhadap rakyat Iraq, China memberi sokongan penuh dalam pembinaan semula ekonomi Iraq dengan kerjasama dua hala serta kerjasama mantap dalam pelbagai bidang,” katanya.
Kedua-dua negara saling menyokong dan membantu antara satu sama lain sejak wabak Covid-19 melanda dunia.
Xi malah menegaskan akan tegas menyokong usaha Iraq mempertahankan kedaulatan nasional, kemerdekaan dan integriti wilayahnya, memerangi keganasan, menjaga keselamatan dan kestabilan nasionalnya.-AGENSI
https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/08/china-perkukuh-hubungan-diplomatik-dengan-iraq/
Comments
Post a Comment